
KUALA LUMPUR | 4 Sep 26 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) wajar dikenakan tindakan berhubung perbelanjaan yang melebihi peruntukan diluluskan sebanyak RM2.1 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025, kata Lim Guan Eng.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata perbelanjaan melebihi peruntukan bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan pematuhan terhadap prosedur dan tatacara kewangan kerajaan.
“Perbuatan sedemikian oleh Ahmad Zahid adalah tidak bertanggungjawab kerana melanggar prosedur dan tatacara kewangan sedia ada, yang boleh mengundang penguatkuasaan undang-undang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Lim, tindakan perlu diambil bagi mengelakkan kementerian lain mengulangi perkara sama yang didakwanya boleh menjejaskan khazanah serta kestabilan kewangan negara.
Beliau turut mendakwa tindakan berkenaan secara langsung menggugat keselamatan kewangan dan kestabilan ekonomi.
“Tolong bayangkan betapa serius dan mudaratnya keadaan kewangan negara sekiranya semua kementerian kerajaan bertindak sedemikian rupa dengan membelanjakan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira sama ada negara mampu atau tidak,” katanya.
Lim berkata, berdasarkan maklumat Kementerian Kewangan, KKDW membelanjakan RM1.8 bilion pada 2023 berbanding peruntukan RM1.1 bilion.
Pada 2024, katanya, perbelanjaan KKDW berjumlah RM2 bilion berbanding peruntukan RM1.3 bilion, manakala pada 2025 sebanyak RM2.3 bilion berbanding peruntukan RM1.6 bilion.
Secara keseluruhan, katanya, jumlah perbelanjaan melebihi peruntukan bagi tempoh tiga tahun itu mencecah RM2.1 bilion.
Bagaimanapun, isu berkenaan sebelum ini turut mendapat penjelasan daripada Perbendaharaan dan KKDW.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, sebelum ini menjelaskan bahawa tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar dan peruntukan berkenaan telah disalurkan sepenuhnya.
Menurut Perbendaharaan, kekangan pembayaran kepada kontraktor berlaku kerana peruntukan tahun semasa telah dibelanjakan hampir sepenuhnya.
Perbendaharaan turut menyatakan KKDW sejak beberapa tahun lalu membuat komitmen dan berbelanja lebih daripada peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar.
Namun, KKDW mempertikaikan penggunaan istilah “berbelanja melebihi peruntukan”.
Setiausaha Akhbar Menteri KKDW, Fadzmel Fadzil, berkata tatacara kewangan kerajaan tidak membenarkan kementerian membuat perbelanjaan melebihi peruntukan secara sewenang-wenangnya kerana setiap perbelanjaan tertakluk kepada sistem kewangan kerajaan, iGFMAS.
Katanya, penggunaan istilah berkenaan memberi gambaran tidak tepat terhadap keadaan sebenar kerana ia turut membabitkan komitmen projek daripada tahun-tahun sebelumnya serta tuntutan pembayaran kepada kontraktor.
Dalam pada itu, Lim turut mempersoalkan kontraktor yang menerima manfaat daripada kontrak KKDW sehingga menyebabkan perbelanjaan kementerian melebihi peruntukan diluluskan.
Beliau mempersoalkan sama ada kontraktor terbabit dipilih mengikut peraturan ditetapkan dan sama ada kaedah pemberian kontrak dijalankan secara telus, terbuka serta akauntabel.
Lim turut membangkitkan isu surat sokongan yang dikeluarkan kementerian selain Kementerian Kewangan, yang menurutnya boleh dianggap sebagai jaminan kerajaan secara tersembunyi.
Menurutnya, hanya Kementerian Kewangan dibenarkan mengeluarkan surat sokongan atau jaminan kerajaan.
Sehubungan itu, Lim berkata Zahid, sebagai Timbalan Perdana Menteri, sepatutnya menunjukkan contoh kepimpinan yang berjimat cermat dan berhemah dalam menguruskan kewangan negara.
“Jelas sekali Ahmad Zahid Hamidi telah membenarkan perbelanjaan melebihi peruntukan diluluskan tanpa usul periksa dan patut memberikan penjelasan penuh kepada rakyat Malaysia,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.