
KOTA BHARU | 4 Sep 26 – Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, hari ini hadir ke Muktamar Tahunan PAS Ke-72 yang berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini.
Kehadiran Hamzah menjadi antara yang mendapat perhatian apabila beliau hadir bersama barisan pimpinan parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang turut menghadiri muktamar berkenaan.
Selain Hamzah, turut hadir Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Muktamar PAS kali ini turut menyaksikan kehadiran wakil UMNO selepas parti itu secara rasmi dijemput PAS sebagai rakan kerjasama politik.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang pada awalnya dijangka hadir bagaimanapun tidak dapat menghadiri muktamar berkenaan atas urusan yang tidak dapat dielakkan.
Beliau diwakili Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Kehadiran pimpinan WAWASAN, parti-parti komponen PN serta wakil UMNO memberikan gambaran perkembangan baharu dalam hubungan politik antara parti Melayu, khususnya ketika wujud usaha memperluas bentuk kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ia juga menarik perhatian susulan perkembangan terbaharu yang menyaksikan PAS membuka ruang kepada UMNO untuk kembali bekerjasama, selepas hubungan kedua-dua parti sebelum ini melalui pelbagai fasa, termasuk kerjasama menerusi Muafakat Nasional.
Muktamar Tahunan PAS Ke-72 berlangsung pada 4 dan 5 September 2026 di PUTIK, Pengkalan Chepa, selepas Muktamar Dewan Pemuda, Dewan Ulama dan Dewan Muslimat PAS yang bermula sejak 2 September lalu.
Kehadiran Hamzah turut mencerminkan peranan WAWASAN dalam landskap PN selepas parti itu diterima sebagai salah satu komponen gabungan berkenaan pada tahun ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.