
KUALA LUMPUR | 6 Sep 26 – Cadangan kerajaan memperkenalkan sistem GST–SST hibrid menimbulkan persoalan sama ada kerajaan benar-benar mahu memperbaiki kelemahan SST atau sekadar mengambil ciri GST tanpa menggunakan nama cukai berkenaan.
Ahli Parlimen Beluran, Datuk Dr Ronald Kiandee berkata, persoalan itu menjadi semakin relevan susulan kenyataan Ahli Parlimen Kepong daripada DAP, Lim Lip Eng, yang berpandangan bahawa jika SST memerlukan ciri GST untuk diperbaiki, lebih baik GST dikembalikan.
Menurut beliau, kenyataan Lim itu menarik kerana DAP bersama Pakatan Harapan (PH) merupakan antara pihak yang menentang GST sebelum ini, termasuk ketika kerajaan memansuhkan GST pada 2018 dan menggantikannya dengan SST.
“Jika SST memerlukan ciri-ciri GST untuk memperbaikinya, mengapa tidak GST itu sendiri dipertimbangkan?
“Tidak perlu membina satu sistem hibrid yang rumit semata-mata untuk mengelakkan penggunaan nama GST,” katanya dalam satu kenyataan.
Ronald berkata, cadangan mengambil ciri GST ke dalam SST secara tidak langsung menunjukkan masih terdapat kelemahan dalam sistem SST yang perlu ditangani.
Katanya, antara persoalan yang perlu diperjelaskan ialah mekanisme cukai berlapis atau tax cascading, apabila cukai pada satu peringkat menjadi sebahagian daripada kos pada peringkat seterusnya dan berpotensi meningkatkan kos sepanjang rantaian bekalan.
“GST mempunyai mekanisme kredit cukai input yang direka untuk mengurangkan kesan cukai berlapis sepanjang rantaian perniagaan.
“Justeru, kerajaan perlu menjelaskan apakah ciri GST yang mahu dimasukkan ke dalam SST, sektor yang terlibat dan bagaimana mekanisme tersebut akan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, istilah “hibrid” sahaja tidak memadai untuk menjelaskan bagaimana sistem berkenaan akan berfungsi, khususnya dari segi kaedah pengiraan, kutipan dan pemberian kredit cukai.
Dalam pada itu, Ronald menegaskan tidak salah untuk kerajaan mencari sistem percukaian yang lebih cekap bagi meningkatkan hasil negara dan pada masa sama mengurangkan beban kepada rakyat.
Namun katanya, dasar percukaian tidak seharusnya dibentuk semata-mata untuk mempertahankan pendirian politik lama atau mengelakkan penggunaan sesuatu nama.
“Jika cara cukai itu dikira, dikutip dan diberikan kredit akhirnya semakin menyerupai GST, persoalan yang dibangkitkan Lim Lip Eng wajar dijawab.
“Kerajaan perlu memilih sistem yang paling cekap dan adil serta menjelaskan dengan terang kadarnya dan kesannya terhadap harga barang serta kos sara hidup rakyat,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.