
KUALA LUMPUR, 15 Jun 25 – Pemuda PAS menukar cadangan himpunan membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) pada 26 Julai depan kepada himpunan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan.
Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, jadual asal himpunan di ibu negara itu bagaimanapun kekal seperti dirancang.
“Daripada keseluruhan isu-isu yang berlaku sejak pentadbiran kerajaan Madani saya yakin semua puncanya adalah orang bernama Anwar.
“Maka Pemuda PAS mengisytiharkan himpunan pada 26 Julai nanti ditukar nama daripada himpunan membantah URA kepada himpunan ‘Turun Anwar’,” katanya, dalam sidang media.
Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, pertukaran itu berikutan perkembangan pelbagai isu semasa negara yang dakwanya berpunca daripada Anwar.
“Itulah punca masalah Malaysia hari ini. Tukar orang ini, insya-Allah selesai sedikit sebanyak masalah negara.
“Saya tak bermaksud kita nak tebuk atap, tetapi kami yakin ramai lagi orang yang layak untuk jadi perdana menteri dalam PH-BN,” katanya.
Pihaknya turut menyeru mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran Anwar untuk turun ke ibu negara menyatakan bantahan mereka ketika himpunan tersebut. @politiko.my