Selama beratus-ratus tahun, manusia melihat dunia melalui pelbagai jenis peta. Namun, peta yang paling biasa digunakan dalam buku teks, media dan pelbagai bahan rujukan sebenarnya tidak menggambarkan saiz sebenar benua secara tepat.
Kini, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah untuk menggalakkan penggunaan gambaran dunia yang lebih tepat dari segi keluasan tanah.
Pada 4 September lalu, PBB meluluskan resolusi bertajuk “Correct the Map: Rebalancing Global Cartographic Representation and Promoting Equitable Representation of the World’s Regions, Particularly Africa” dengan 164 negara menyokong, enam berkecuali dan hanya Amerika Syarikat mengundi menentang.
Resolusi itu menyokong penggunaan unjuran peta yang lebih tepat dalam menggambarkan perbandingan keluasan benua, termasuk Equal Earth, yang menunjukkan saiz relatif daratan dengan lebih tepat berbanding peta Mercator yang digunakan secara meluas.
Apa masalah dengan peta Mercator?
Peta Mercator diperkenalkan oleh kartografer Gerardus Mercator pada abad ke-16 dan pada asalnya amat berguna untuk pelayaran kerana ia mengekalkan arah dengan baik.
Masalahnya, apabila permukaan bumi yang berbentuk sfera dipindahkan ke atas permukaan rata, berlaku herotan. Semakin hampir sesuatu kawasan dengan kutub, semakin besar kawasan itu kelihatan.
Akibatnya, Greenland misalnya kelihatan hampir sebesar Afrika dalam peta Mercator, sedangkan keluasan Afrika sebenarnya kira-kira 14 kali ganda Greenland.
Begitu juga dengan negara-negara dan wilayah berhampiran khatulistiwa. Saiznya kelihatan lebih kecil berbanding keluasan sebenar apabila dibandingkan dengan kawasan berhampiran kutub.
Ini tidak bermakna peta Mercator “salah” secara keseluruhannya. Ia direka untuk tujuan tertentu, khususnya navigasi, dan masih mempunyai kegunaan sehingga hari ini.
Malah, dalam perbahasan PBB, resolusi berkenaan secara jelas tidak mengecam Mercator dan mengiktiraf bahawa setiap jenis unjuran mempunyai kegunaan tersendiri.
Jadi apa yang berbeza dengan Equal Earth?
Equal Earth ialah satu bentuk unjuran equal-area, iaitu kaedah menghasilkan peta dunia yang mengekalkan perbandingan keluasan sebenar antara kawasan.
Unjuran itu dibangunkan pada 2018 oleh Bojan Šavrič, Tom Patterson dan Bernhard Jenny. Ia direka untuk menghasilkan gambaran dunia yang lebih seimbang dari segi keluasan tanpa menjadikan bentuk benua terlalu sukar dikenali.
Dalam peta seperti ini, Afrika kelihatan jauh lebih besar berbanding Greenland dan Eropah serta Amerika Utara kelihatan lebih kecil berbanding gambaran yang biasa dilihat dalam peta Mercator.
Namun, bumi tidak berubah. Yang berubah hanyalah cara permukaan bumi diterjemahkan ke dalam bentuk dua dimensi.
Kenapa Afrika begitu penting?
Usaha ini dipelopori Togo dengan sokongan negara-negara Afrika dan bertujuan memperbaiki cara dunia menggambarkan perbandingan saiz wilayah, khususnya Afrika.
Bagi penyokong resolusi, persoalannya bukan sekadar ketepatan geografi tetapi juga bagaimana gambaran visual dunia boleh mempengaruhi persepsi manusia terhadap kepentingan dan kedudukan sesuatu wilayah.
Dalam perbahasan PBB, wakil Afrika menegaskan bahawa usaha itu bukan ditujukan kepada mana-mana negara atau tamadun, sebaliknya bertujuan menggalakkan pengetahuan berasaskan gambaran geografi yang lebih tepat.
Amerika Syarikat tidak bersetuju
Amerika Syarikat menjadi satu-satunya negara yang mengundi menentang resolusi itu. Washington melihat usaha tersebut secara berbeza dan menganggapnya mempunyai unsur agenda ideologi. Bagaimanapun, majoriti besar negara anggota menyokong resolusi berkenaan.
Perbezaan pendirian itu menjadikan isu peta ini lebih daripada sekadar perbahasan mengenai kartografi.
Ia menyentuh persoalan lebih besar tentang bagaimana dunia dilihat, bagaimana sesuatu wilayah diwakili dan sejauh mana gambaran visual boleh mempengaruhi pemahaman manusia terhadap dunia. Persoalan juga timbul samada peta dunia selepas ini akan berubah? Ini perkara penting yang perlu difahami.
Resolusi PBB tersebut tidak mewajibkan semua negara, sekolah atau syarikat teknologi menggantikan peta Mercator dengan Equal Earth. Ia juga tidak mengubah sempadan negara atau menentukan tuntutan wilayah mana-mana negara.
India, misalnya, menyokong resolusi itu tetapi menegaskan bahawa ia perlu difahami sebagai sokongan terhadap penggunaan unjuran equal-area secara lebih meluas, bukannya pengesahan kepada satu jenis peta tertentu sahaja.
New Zealand, Australia dan Kanada pula menegaskan bahawa resolusi itu tidak boleh digunakan untuk mengubah atau menentukan persoalan kedaulatan, sempadan atau hak wilayah mana-mana negara.
Malah, PBB sendiri mengakui bahawa tiada satu unjuran peta yang mampu menggambarkan bumi tiga dimensi secara sempurna dalam bentuk rata.
Setiap peta mempunyai komprominya sendiri — ada yang lebih baik untuk keluasan, ada yang lebih baik untuk bentuk, jarak, arah atau navigasi. Jadi, adakah peta selama ini “menipu” kita? Tidak tepat untuk mengatakan demikian.
Peta Mercator bukan direka untuk mengecilkan Afrika atau membesarkan Eropah secara politik. Ia merupakan hasil keperluan kartografi dan navigasi pada zamannya.
Namun, apabila satu jenis peta digunakan secara meluas selama berabad-abad, gambaran visual yang terhasil boleh membentuk persepsi manusia terhadap saiz dan kedudukan relatif sesuatu wilayah.
Sebab itu keputusan PBB ini menarik. Ia bukan sekadar mengenai peta mana yang lebih cantik atau lebih tepat. Ia mengingatkan kita bahawa cara dunia digambarkan juga mempunyai kesan terhadap cara manusia memahami dunia.
Dan mungkin persoalan paling menarik daripada keputusan ini bukanlah “peta mana yang betul?” Tetapi, apabila kita melihat dunia setiap hari melalui satu gambaran tertentu, sejauh mana gambaran itu akhirnya membentuk cara kita melihat dunia itu sendiri? @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.