DNAA Zahid: UMNO Kedah Tempelak DAPSY

KUALA LUMPUR | 8 Sep 26 – UMNO Kedah menyelar desakan Pemuda DAP (DAPSY) supaya Peguam Negara mengkaji semula keputusan berhubung kes Yayasan Akalbudi membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sambil mempersoalkan pendirian DAP terhadap kes melibatkan Lim Guan Eng pada 2018.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, menyifatkan pendirian DAPSY itu sebagai politik terpilih serta mendakwa parti berkenaan hanya membangkitkan soal kedaulatan undang-undang apabila sesuatu keputusan tidak memihak kepada mereka.

“Kalau benar DAPSY serius mahu mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang, maka hormatilah proses dan institusi yang bertanggungjawab membuat keputusan.

“DNAA bukan bermaksud seseorang telah dibebaskan atau disahkan tidak bersalah. Ia juga bukan tiket untuk mana-mana pihak membuat hukuman politik di luar mahkamah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shaiful turut mempersoalkan mengapa DAPSY kini mendesak supaya kes Ahmad Zahid dikaji semula, sedangkan menurutnya persoalan sama tidak diketengahkan ketika pendakwaan terhadap Lim Guan Eng ditarik balik pada 2018.

Bagaimanapun, dari sudut fakta, keputusan menarik pertuduhan terhadap Lim ketika itu bukan dibuat sendiri oleh Tommy Thomas yang merupakan Peguam Negara pada waktu itu.

Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara ketika itu, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, menjelaskan bahawa beliau yang membuat keputusan menarik pertuduhan terhadap Lim dan seorang lagi tertuduh, Phang Li Koon.

Tommy Thomas pula telah menarik diri daripada semua pertimbangan berkaitan kes berkenaan. Hanafiah berkata keputusan dibuat selepas meneliti representasi yang dikemukakan serta mendapati kekuatan keterangan dalam kes itu telah terjejas.

Dalam perkembangan terbaharu, kes Ahmad Zahid pula telah melalui beberapa peringkat selepas beliau diberikan DNAA terhadap 47 pertuduhan berkaitan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi pada 2023.

Pada Januari 2026, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan kes itu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) selepas penelitian terhadap keseluruhan siasatan dan keterangan baharu.

AGC berkata siasatan lanjut oleh SPRM turut meliputi sumber dana, kaedah perolehan dan penggunaan dana, selain mengambil kira enam representasi yang dikemukakan selepas Ahmad Zahid dipanggil membela diri.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, pada ketika itu menegaskan keputusan NFA dibuat selepas penelitian terhadap fakta, bukti dan merit undang-undang, bukannya secara sewenang-wenangnya.

Namun, DAPSY pada 4 September lalu tetap mendesak Peguam Negara mengkaji semula kes berkenaan, dengan alasan kebimbangan awam terhadap kebebasan sistem pendakwaan perlu ditangani.

Mengulas perkara itu, Shaiful berkata DAPSY sepatutnya menggunakan saluran undang-undang sekiranya mempunyai asas untuk mencabar sesuatu keputusan, bukannya memberi tekanan politik terhadap institusi kehakiman dan pendakwaan.

“Jika ada asas undang-undang untuk mencabar sesuatu keputusan, gunakan saluran undang-undang. Jika tiada, berhentilah membuat bising seolah-olah tekanan politik boleh menggantikan proses kehakiman,” katanya.

Beliau turut menegaskan prinsip reformasi dan kedaulatan undang-undang tidak seharusnya berubah mengikut siapa yang berada di kandang tertuduh.

“Prinsip yang benar-benar dipegang tidak berubah mengikut siapa yang berada di kandang tertuduh,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share