ROS Sahkan Kepimpinan Baharu PN, Semua Urusan Parti Tertakluk Kepimpinan Baharu – Takiyuddin

KUALA LUMPUR | 19 Jun 26 — Perikatan Nasional (PN) mengesahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) telah menerima perubahan struktur kepimpinan tertinggi gabungan itu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN yang baharu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menerima maklum balas rasmi daripada ROS berhubung urusan pentadbiran dan pengurusan parti menerusi surat bertarikh 19 Jun 2026.

Menurut beliau, ROS mengesahkan penerimaan minit Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN bertarikh 22 Februari 2026 yang merekodkan peletakan jawatan Pengerusi PN sebelum ini serta pelantikan Pengerusi PN yang baharu.

ROS turut menerima minit Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Bilangan 1 Tahun 2026 bertarikh 14 Mac 2026 bersama senarai kepimpinan dan pelantikan ahli jawatankuasa Majlis Tertinggi PN untuk direkodkan.

Perkembangan itu dilihat sebagai pengesahan rasmi terhadap perubahan kepimpinan dalam PN selepas gabungan tersebut melalui fasa penyusunan semula.

Dalam kenyataan sama, Takiyuddin menegaskan PN akan memastikan segala aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).

Beliau turut memberi peringatan bahawa sebarang aktiviti atau mesyuarat yang menggunakan nama Perikatan Nasional tidak boleh dilaksanakan tanpa keizinan Pengerusi PN, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Langkah itu secara tidak langsung memberi isyarat bahawa struktur baharu PN kini telah dimuktamadkan dan semua urusan rasmi gabungan tersebut tertakluk kepada kepimpinan baharu.

Pengesahan ROS ini juga dilihat mempunyai implikasi politik besar kerana ia menutup ruang kepada sebarang pertikaian mengenai kedudukan pengerusi dan barisan kepimpinan PN.

Dengan pengiktirafan tersebut, Ahmad Samsuri kini bukan sahaja muncul sebagai wajah baharu PN, malah menjadi pusat rujukan rasmi bagi sebarang keputusan dan gerak kerja gabungan berkenaan.

Perubahan ini turut menandakan berakhirnya satu fasa kepimpinan lama PN yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan membuka laluan kepada era baharu gabungan pembangkang itu menjelang perkembangan politik akan datang. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share