
KUALA LUMPUR | 9 Sep 26 – PAS menegaskan parti itu tidak akan meneruskan kerjasama dengan mana-mana parti yang disifatkan tidak istiqamah dengan Islam sebagai al-din.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata pendirian itu merupakan sebahagian daripada prinsip yang digariskan dalam Perlembagaan PAS, khususnya dalam usaha meletakkan Islam sebagai asas perjuangan parti.
“PAS membatalkan kerjasama dengan semua parti yang tidak beristiqamah dengan Islam sebagai al-din,” katanya dalam tulisan terbaharu Minda Presiden PAS bertajuk “Penyatuan Ummah Diwajibkan, Berpecah Diharamkan”.
Menurut Abdul Hadi, penyatuan ummah bukan sekadar agenda politik, sebaliknya merupakan tuntutan agama yang diwajibkan Allah SWT.
Beliau berkata umat Islam perlu bersatu dalam perkara rukun dan dasar agama, manakala perbezaan dalam perkara cabang perlu diuruskan dengan bijaksana dan saling menghormati.
Abdul Hadi turut membezakan antara tafarruq atau perpecahan dalam perkara dasar dan rukun agama dengan khilaf atau perbezaan pendapat dalam perkara cabang.
Katanya, perbezaan pandangan dalam perkara cabang tidak seharusnya membawa kepada perpecahan kerana ia boleh ditangani melalui sikap tasamuh, iaitu bertolak ansur dan saling menghormati.
“Sekiranya tidak menemui keputusan, maka hendaklah bertasamuh (bertolak ansur dan saling menghormati). Inilah adab berkhilaf yang menjadi pegangan para ulama’ yang soleh,” katanya.
Pada masa sama, Abdul Hadi berkata hubungan kemanusiaan tetap perlu dipelihara walaupun terdapat perbezaan agama dan bangsa.
Beliau menegaskan umat Islam tidak boleh bersikap melampau terhadap golongan bukan Islam, termasuk dalam keadaan berlaku pertentangan atau pencerobohan.
Menurutnya, Islam turut mewajibkan keadilan kepada semua manusia dan melarang kebencian terhadap sesuatu kaum menjadi alasan untuk berlaku tidak adil.
Mengaitkan pendirian itu dengan keadaan politik semasa, Abdul Hadi berkata pengalaman Rasulullah SAW menunjukkan bahawa masyarakat yang berpecah boleh disatukan melalui Islam.
Beliau turut menyifatkan usaha menyatukan masyarakat Melayu Islam sebagai lebih mudah sekiranya mereka meninggalkan penyelesaian berasaskan ideologi dan kembali kepada Islam yang sempurna sebagai al-din.
Dalam tulisannya itu, Abdul Hadi turut menyentuh keperluan mengubah peruntukan yang dianggap ditetapkan penjajah serta meletakkan Islam sebagai hukum tertinggi dan menjadikannya asas negara.
Bagaimanapun, PAS katanya tetap bersedia bermuzakarah dengan sesiapa sahaja dengan berasaskan ilmu, akhlak dan usaha mencari kebenaran.
“PAS sedia bermuzakarah dengan ilmu dan berakhlak mencari kebenaran dengan sesiapa sahaja, serta berwawasan dunia sehingga akhirat,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.