
SEREMBAN | 9 Sep 26 – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mendakwa beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi yang tular pada 8 September lalu secara paksaan (duress).
Beliau berkata laporan polis telah dibuat sekitar jam 6 petang pada hari sama bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.
“Surat Cara tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan (duress),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Ismail, Kerajaan Negeri berpendirian bahawa Surat Cara berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri menganggap Surat Cara tersebut tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Perkembangan itu menambah satu lagi dimensi kepada kemelut yang sedang berlaku apabila dakwaan mengenai proses dan kesahihan Surat Cara berkenaan kini turut disusuli laporan polis.
Dalam pada itu, Ismail berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bil. 5 Tahun 2026 yang bersidang pada 8 September turut membincangkan penubuhan Jawatankuasa Pendamai.
Katanya, jawatankuasa itu akan menjadi wadah untuk mencari penyelesaian terhadap isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat.
Kerajaan Negeri, katanya, turut merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Persekutuan menjamin hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan.
Menurut Ismail, langkah sewajarnya perlu diambil bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, terus terpelihara.
Beliau pada masa sama menegaskan sokongan penuh serta taat setia tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz.
“Saya sekali lagi menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat,” katanya.
Dakwaan mengenai tandatangan secara paksaan serta laporan polis itu kini membuka ruang kepada siasatan pihak berkuasa bagi menentukan keadaan sebenar yang berlaku berhubung Surat Cara Proklamasi berkenaan.
Terdahulu, Undang Yang Empat mendakwa membuat proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz daripada kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berdasarkan Perkara 10(1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS). Surat yang ditandatangni oleh Menteri Besar turut didedahkan kepada umum. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.