
KUALA LUMPUR | 12 Sep 26 – UMNO menghormati sepenuhnya institusi Yang di-Pertuan Agong serta proses yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan berhubung kuasa pengampunan, susulan keputusan Lembaga Pengampunan menangguhkan permohonan pengampunan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu berharap permohonan berkenaan dapat dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang tanpa kelewatan yang tidak perlu, selaras dengan proses undang-undang dan Perlembagaan.
Menurutnya, perjuangan UMNO mendapatkan keadilan buat Najib bukan usaha untuk mencabar institusi atau proses undang-undang, sebaliknya akan terus dilakukan melalui ruang yang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang.
“UMNO akan terus menggunakan segala ruang yang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang bagi memastikan hak beliau untuk mendapatkan pertimbangan yang adil dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan media.
UMNO turut mengambil maklum kenyataan rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri berhubung Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bersidang pada 11 September 2026.
Dalam kenyataan sama, UMNO mengakui wujud keresahan dan kekecewaan dalam kalangan ahli parti serta rakyat yang telah lama menantikan perkembangan berhubung permohonan tersebut.
Bagaimanapun, UMNO menyeru semua pihak supaya terus bertenang, menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses yang sedang berjalan.
“UMNO tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan. Kita akan terus berusaha melalui saluran Perlembagaan, undang-undang dan institusi yang sah sehingga segala proses berkaitan Datuk Seri Mohd Najib diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.