
KUALA LUMPUR | 25 Sep 26- Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Haji Idris Ahmad menyeru penyokong supaya tidak goyah susulan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menggantung semua kegiatan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya terus menggerakkan perjuangan dan agenda penyatuan ummah.
Menurut Idris, urusan berhubung tindakan RoS perlu diserahkan kepada pimpinan untuk ditangani, manakala penyokong diminta kekal tenang dan meneruskan kerja politik.
“Kita mengharapkan penyokong-penyokong kita semua relax, biarkan pimpinan yang akan uruskan keadaan ini. Fokus kita satu, tumbangkan Pakatan Harapan dalam pilihan raya negeri Melaka. Agenda penyatuan umat mesti diteruskan,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook beliau, semalam.
Beliau berkata, penggantungan tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai halangan kepada PAS dan rakan-rakan politiknya untuk meneruskan usaha mencapai matlamat perjuangan.
“Pergantungan ini sebenarnya tidak menjadi halangan terutamanya untuk PAS dan rakan-rakan yang lain untuk terus bekerja bagi mencapai cita-cita kita. Pergantungan ini bukan melemahkan, malahan ianya akan memberikan semangat yang terus membara,” katanya.
Idris berkata perjuangan politik sememangnya berdepan cabaran, dan PAS telah melalui pengalaman panjang sepanjang berada dalam persada politik.
“Biasalah perjuangan ini mesti ada cabaran, bahawa dia ada semangat, bahawa dia ada kemanisan. Bagi PAS, sudah 75 tahun kita berada di persada politik yang masak dengan segala sepak terajang dan juga tipu daya musuh dan strategi musuh,” katanya.
Tindakan RoS itu susulan notis tunjuk sebab bertarikh 22 September yang memberi PN tempoh 30 hari untuk mengemukakan penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
RoS kemudian mengeluarkan perintah penggantungan di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966, dengan semua kegiatan PN digantung berkuat kuasa 23 September. RoS turut menjelaskan bahawa notis tersebut bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN, sebaliknya memberi ruang kepada gabungan itu menjawab aduan berkenaan.
PAS sebelum ini memaklumkan akan bersama parti komponen PN yang bertanggungjawab untuk meneliti dan mengambil langkah sewajarnya berhubung notis tunjuk sebab serta perintah penggantungan tersebut mengikut lunas undang-undang.
Dalam pada itu, Idris mengingatkan bahawa politik hari ini berlangsung dalam era maklumat yang pantas, dengan rakyat semakin sedar dan peka terhadap perkembangan politik.
“Kita hari ini berpolitik di zaman 5G, di zaman maklumat yang sangat dengan maklumat, di zaman yang begitu tuntas jawapan-jawapan yang dapat masuk dalam kepala rakyat. Zaman rakyat yang cukup sedar dan peka tentang politik,” katanya.
Beliau kemudian menyeru penyokong supaya terus berjuang serta meneruskan agenda penyatuan dan perpaduan.
“Akhirnya berjuang terus berjuang. Berjuang sampai menang. Teruskan agenda penyatuan dan perpaduan kita,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.