
KUALA LUMPUR | 13 Sep 26 – Rundingan mengenai pembahagian kerusi antara PAS dan UMNO tidak boleh diputuskan di peringkat negeri sahaja, sebaliknya perlu mengambil kira kedudukan serta kepentingan politik di seluruh negara, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau berkata, pertemuan awal antara PAS dan UMNO Melaka kini sedang diatur selepas mendapat persetujuan pimpinan PAS Kedah, namun pertemuan itu hanya bertujuan meneroka kehendak UMNO sebelum sebarang rundingan lanjut dibuat.
“Untuk pertemuan awal ini hanya untuk explore apa kehendak daripada UMNO. Itu saja. Boleh dapat apa-apa bayangan apa yang nak diperkirakan. Mungkin nak tanya pasal kerusi,” katanya dalam satu hantaran video.
Menurut Sanusi, sebarang keputusan berkaitan pembahagian kerusi perlu dibuat dengan mengambil kira rundingan di peringkat nasional kerana penyesuaian kerusi antara negeri mungkin diperlukan.
“Di peringkat negeri Melaka, perundingan tidak boleh dibuat peringkat negeri Melaka sahaja. Perundingan mesti ambil kira seluruh negara. Barulah boleh buat adjustment sana sini,” katanya.
Beliau menjelaskan, jika rundingan hanya dibuat berdasarkan kedudukan sesebuah negeri, ruang untuk melakukan pertukaran atau penyesuaian kerusi antara negeri akan menjadi lebih terhad.
Sanusi turut menegaskan bahawa keputusan pokok mengenai kerjasama politik antara PAS dan UMNO dibuat di peringkat pusat, manakala pimpinan negeri bertanggungjawab melaksanakan keputusan yang telah dipersetujui.
“Saya difahamkan persetujuan pokoknya dibuat di peringkat pusat, di peringkat presiden, dengan diberi kuasa perundinglah. Negeri-negeri ini nak execute saja, nak melaksanakan hasil perundingan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi mengesahkan pertemuan awal dengan pimpinan UMNO Melaka, termasuk Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, sedang diatur melalui pegawai masing-masing.
Beliau berkata, tarikh pertemuan akan ditentukan mengikut kesesuaian jadual kedua-dua pihak.
Sanusi turut mengulangi bahawa beliau sendiri tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan akhir berhubung perkara berkenaan kerana kedudukannya dalam PAS Kedah bukan sebagai ketua parti.
“Saya bukan ketua parti di Kedah. Saya second man. Saya ada ketua saya,” katanya.
Katanya, beliau akan mendapatkan arahan daripada PAS Pusat sebelum sebarang perundingan lanjut dengan UMNO dilakukan.
“Jangan cakap dulu. Bagi pimpinan cakap dulu. Kita di bawah, kita ikut. Senang,” katanya.
Dalam masa sama, Sanusi berkata keputusan berkaitan kerjasama dalam Perikatan Nasional juga perlu menunggu keputusan pimpinan di peringkat nasional sebelum dilaksanakan di negeri-negeri.
Beliau berkata, pimpinan negeri akan mematuhi keputusan yang dibuat di peringkat pusat, termasuk selepas mesyuarat PN yang dijadualkan pada 20 haribulan.
“Saya pun tengok sekali lalu, tengok apa dia keputusan di peringkat nasional. Oleh itu PN negeri akan patuh,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.