
KUALA LUMPUR, 16 APR 25 – Tun Abdullah Ahmad Badawi membuka ruang demokrasi yang luas buat Malaysia ketika era pemerintahannya sebagai perdana menteri ke-5, kata Ahli Parlimen Tasik Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan.
“Beliau memainkan peranan penting dalam memperkenalkan Pelan Integriti Nasional dan seterusnya dalam penubuhan Institut Integriti Malaysia,” kata Wan Saiful, yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Malah, perkara itu pernah dibangkitkan dalam penulisannya pada 2008, yang mana Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah katanya berperanan penting dalam proses pengukuhan demokrasi di Malaysia.
“Pemergian Pak Lah adalah satu kehilangan buat negara,” katanya.
Pak Lah meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 Apr lepas.
Beliau dilantik sebagai perdana menteri ke-5 pada 31 Okt 2003 selepas perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad. @politiko.my