Parti Kucing? Memang Kita Kecil. Sebab Itu Kita Boleh Bergerak Lebih Cepat — Naib Presiden Wawasan

KUALA LUMPUR | 14 Sep 26 – Parti Wawasan Negara menepis sindiran wakil UMNO yang mengaitkan parti itu dengan “kucing”, dengan Naib Presidennya, Datuk Omar Mustapha membalas secara sinis bahawa saiz kecil bukan alasan untuk sesebuah parti dipandang rendah.

Sebaliknya, Omar menjadikan kiasan “kucing” itu sebagai kekuatan Wawasan Negara, dengan menegaskan parti yang masih baharu mempunyai kelebihan untuk bergerak lebih pantas, menyesuaikan diri dengan perubahan dan memperbaiki kesilapan tanpa dibelenggu beban masa lalu.

“Memang kita kecil. Sebab itu kita boleh bergerak lebih cepat.

“Memang kita baru. Sebab itu kita masih boleh belajar tanpa dibelenggu tabiat lama,” katanya.

Menurut Omar, parti besar mempunyai kelebihan dari segi jentera, kewangan, sejarah dan jumlah anggota, tetapi parti kecil tidak seharusnya cuba menjadi versi kecil kepada parti besar.

Sebaliknya, katanya, parti baharu perlu memanfaatkan keupayaan untuk bertindak pantas apabila keadaan politik berubah.

Omar berkata, kucing juga mempunyai kelebihan tersendiri kerana mampu menyesuaikan diri, mengekalkan keseimbangan dan membetulkan kedudukan ketika jatuh sebelum mencecah tanah.

“Apabila politik berubah, parti kecil boleh mengubah arah lebih cepat. Apabila berlaku kesilapan, ia tidak perlu mempertahankan beban puluhan tahun. Ia boleh belajar, membetulkan kedudukan dan bergerak semula,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kemampuan kucing mencari ruang kecil sebagai satu lagi perumpamaan yang sesuai untuk parti baharu.

“Kucing tidak memerlukan ruang yang besar untuk bergerak. Ia mencari celah yang orang lain tidak nampak. Ia mendengar dengan teliti, bergerak dengan senyap dan hanya melompat apabila jaraknya tepat,” katanya.

Dalam konteks politik, Omar berkata Wawasan Negara tidak perlu berada di semua tempat pada masa yang sama, sebaliknya perlu mengenal pasti kawasan yang benar-benar memerlukan pilihan baharu, membina kepercayaan rakyat dan membuktikan kemampuan satu kawasan demi satu kawasan.

Katanya, jika politik negara sedang kehilangan keseimbangan, ukuran kekuatan sesebuah parti tidak semestinya terletak pada saiznya.

“Kalau politik negara ini sedang jatuh hilang keseimbangan, mungkin yang diperlukan bukan parti yang paling besar, tetapi parti yang tahu bagaimana hendak membetulkan kedudukan, mendarat dengan kaki sendiri, dan terus berdiri,” katanya.

Omar akhirnya menerima label “kucing” itu dengan nada bersahaja, malah menjadikannya sebagai tekad Wawasan Negara untuk mendekati rakyat.

“Maka kepada mereka yang di luar sana yang menganggap kami di Wawasan Negara sekadar kucing. Biar saya menjawab. Ya, kami mungkin hanya seekor kucing tapi kami berazam dan bertekad untuk menjadi kucing kesayangan rakyat,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share