
KUALA LUMPUR | 16 Sep 26 – Presiden Malaysian Advancement Party (MAP), P Waytha Moorthy Ponnusamy mempersoalkan motif siasatan polis terhadapnya berkaitan surat terbuka yang ditulis kepada Presiden PAS dan Presiden UMNO lebih setahun lalu.
Waytha berkata beliau dipanggil hadir ke Bukit Aman pada 14 September lalu bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Menurutnya, siasatan itu dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman dan beliau mempersoalkan mengapa perkara yang didakwa berlaku pada tahun lalu hanya disiasat sekarang.
“Jika kesalahan yang didakwa ini berlaku pada tahun lalu, persoalan yang nyata ialah: mengapa baru sekarang ia disiasat?” katanya dalam kenyataan.
Waytha turut mempersoalkan sama ada perubahan suasana politik menjadi faktor kepada masa siasatan tersebut dimulakan, selain mempertikaikan keperluan sebuah unit siasatan khusus di peringkat Persekutuan mengendalikan perkara berkenaan.
Beliau kemudian mengaitkan perkembangan itu dengan hubungan politiknya bersama PAS dan UMNO serta mendakwa wujud persoalan sama ada perbezaan pandangan politik sedang ditangani melalui penggunaan undang-undang jenayah.
Waytha turut menyentuh mengenai sokongan masyarakat India kepada kerajaan, khususnya PKR dan Amanah, dengan menegaskan bahawa pengundi India berhak mempersoalkan sama ada janji politik kepada mereka telah ditunaikan.
“Undi mereka bukan hak milik kekal PMX, PKR, DAP atau mana-mana gabungan politik,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan menangani keluhan masyarakat India dan menunaikan janji yang dibuat kepada komuniti itu, bukannya menjawab kritikan melalui siasatan polis atau Akta Hasutan.
“Dan jangan gunakan sistem keadilan jenayah untuk menangani ketidakyakinan politik,” katanya.
Waytha menegaskan beliau tidak akan berhenti bersuara bagi memperjuangkan isu yang menurutnya berkaitan keadilan, maruah dan kedudukan masyarakat India sebagai warganegara Malaysia. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.