
KUALA LUMPUR | 27 Feb 26 — Istana Negara memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, kini gering susulan kesakitan musculoskeletal melibatkan otot dan tulang di bahagian belakang serta pinggul.
Menurut kenyataan Istana Negara hari ini, Seri Paduka Baginda telah dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya berehat dan tidak berangkat ke sebarang majlis bagi memberi ruang kepada proses rawatan dan pemulihan.
Sehubungan itu, Baginda tidak dapat berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Ketua Perwakilan Asing dan Pegawai Kanan Kerajaan di Istana Negara semalam.
Selain itu, majlis perasmian Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) oleh Baginda turut ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong bertitah akan kembali berangkat ke majlis-majlis rasmi sebaik sahaja kesihatan Baginda beransur pulih. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.