
KUALA LUMPUR | 17 Sep 26 — Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mengalami “amnesia” susulan kenyataan terbaharu beliau yang mengaitkan isu kemasukan pelarian Rohingya dengan kerajaan terdahulu.
Dalam kenyataan terbaharunya, Anwar berkata kemasukan pelarian Myanmar termasuk Rohingya ke Malaysia berlaku ketika pentadbiran terdahulu, termasuk ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut terlibat dalam menyambut kehadiran mereka.
“Dulu waktu mereka masuk ke Malaysia, pintu dibuka. Disambut, ada perhimpunan besar,” kata Anwar dalam podcast SembangOhhYeahh.
Anwar turut mempersoalkan mengapa kerajaan semasa dipersalahkan terhadap masalah yang dikaitkannya dengan keputusan kerajaan terdahulu.
“Orang lain yang bawa masuk, orang lain yang kena,” katanya.
Fadhli bagaimanapun mempersoalkan kenyataan tersebut dengan mengingatkan bahawa Anwar sendiri pernah mengambil pendirian berhubung Rohingya atas dasar kemanusiaan ketika berada di pihak pembangkang pada 2020.
Menurut Fadhli, Anwar tidak sepatutnya menyalahkan kerajaan terdahulu seolah-olah isu tersebut langsung tidak mempunyai kaitan dengan pendirian yang pernah diambil oleh beliau sendiri.
“PMX perlu dapatkan rawatan jika hidapi amnesia,” katanya.
Fadhli turut mempersoalkan tindakan Anwar yang menurutnya kini cuba mengalihkan tanggungjawab kepada kerajaan terdahulu.
“Kerjanya hanyalah menyalahkan orang lain,” katanya sambil menggesa kerajaan menyelesaikan masalah Rohingya yang dihadapi ketika ini.
Rekod kenyataan Anwar pada April 2020 menunjukkan beliau ketika itu menyeru pemimpin supaya tidak takut mempertahankan Rohingya atas dasar kemanusiaan. Beliau turut menyatakan sokongan kepada Rohingya berasaskan prinsip yang sama seperti sokongan terhadap Palestin.
Dalam kenyataan pada ketika itu, Anwar juga menjelaskan bahawa pendiriannya bukan untuk memberikan kewarganegaraan Malaysia kepada Rohingya, sebaliknya mencadangkan pendekatan termasuk kawasan terkawal serta penempatan semula di negara ketiga.
Fadhli berkata kerajaan hari ini seharusnya berhenti menyalahkan pihak lain dan tampil dengan penyelesaian terhadap isu yang sedang dihadapi.
“Sebagai pemimpin kerajaan, berhenti merengek menyalahkan orang lain. Hadap masalah hari ini dengan penyelesaian kamu sebagai kerajaan,” katanya.
“Jika tidak mampu, undur dan serahkan kepada orang lain untuk menjadi kerajaan.”
Dalam pada itu, Anwar dalam kenyataan terbaharunya turut menegaskan kerajaan tidak boleh sekadar menangkap atau mengusir pelarian berkenaan tanpa penyelesaian kerana Myanmar sebelum ini tidak bersedia menerima mereka semula.
Beliau berkata pendekatan kerajaan kini adalah berunding dengan Myanmar dan mendapatkan jaminan keselamatan sebelum penghantaran pulang dilakukan.
Anwar turut memaklumkan Myanmar bersetuju menerima 5,000 pelarian secara berperingkat, dengan kira-kira 1,500 dijangka dihantar pulang dalam tempoh satu hingga dua minggu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.