
SEREMBAN | 22 Sep 26 – Setiausaha Kerajaan Negeri (SS) Sembilan, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang (LA) Negeri Sembilan, Dato’ Muzalmah Mustapha Kamal digantung tugas berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang berlangsung hari ini, 22 September 2026.
Menurut kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Haji Ismail Lasim, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Masri Haji Razali dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Setiausaha Kerajaan Negeri baharu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Sementara itu, tugas memberikan nasihat perundangan negeri akan dilaksanakan oleh En. Fahmi Adilah, seorang peguam bela dan peguam cara, sehingga Penasihat Undang-Undang baharu dinamakan oleh Jabatan Peguam Negara.
Notis penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri akan dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Manakala notis penggantungan Penasihat Undang-Undang Negeri akan dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Dalam kenyataan sama, Ismail turut mengesahkan semua jawatan Ahli MMKN kekal dan sah.
Beliau berkata pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan terus berjalan seperti biasa, manakala amanah kepada rakyat akan terus dilaksanakan sebaik-baiknya.
Bagaimanapun, kenyataan Menteri Besar tidak menyatakan sebab khusus penggantungan kedua-dua pegawai kanan berkenaan.
Perkembangan itu berlaku ketika pentadbiran Negeri Sembilan sebelum ini menjadi perhatian susulan isu berkaitan proses pewartaan proklamasi penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Namun, setakat kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, sebarang kaitan langsung antara isu tersebut dengan keputusan menggantung tugas SS dan LA Negeri Sembilan belum dinyatakan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.