ROS Digesa Jelaskan Butiran Aduan BERSATU – Wawasan Negara Selangor

SHAH ALAM | 25 Sep 26 – Parti Wawasan Negara Negeri Selangor menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menjelaskan butiran aduan rasmi Bersatu yang menjadi asas kepada penggantungan aktiviti Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 23 September lalu.

Pengerusi Wawasan Negara Selangor, Dato’ Suhaimi Ghazali berkata, pihaknya menghormati undang-undang namun pada masa sama rakyat berhak bertanya mengenai asas, bukti dan proses yang membawa kepada keputusan berkenaan.

Menurutnya, ROS telah mengesahkan bahawa penggantungan aktiviti PN dibuat susulan aduan rasmi daripada Bersatu.

“Justeru, persoalan kami jelas: apa sebenarnya yang diadukan? Apakah asas dan bukti yang dikemukakan? Bagaimana proses tersebut dijalankan?” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Suhaimi turut mempersoalkan sama ada terdapat pihak lain yang memberikan maklumat atau terlibat dalam proses berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Wawasan Negara Selangor tidak menuduh mana-mana pihak melakukan konspirasi atau mempunyai “tangan ghaib”.

“Namun apabila keputusan besar seperti ini dibuat pada waktu yang sama dengan bermulanya proses politik di Melaka, rakyat berhak bertanya tentang masa, asas dan proses keputusan tersebut,” katanya.

Menurut Suhaimi, sekiranya berlaku pelanggaran, fakta mengenainya perlu dinyatakan, manakala jika terdapat bukti, asasnya juga perlu dikemukakan.

“Jika proses telah dilaksanakan mengikut undang-undang, jelaskan kepada rakyat secara terbuka,” katanya.

Beliau berkata Wawasan Negara Selangor tidak meminta mana-mana pihak diberikan kekebalan daripada undang-undang, sebaliknya menuntut ketelusan, penjelasan serta prinsip yang sama dilaksanakan kepada semua pihak.

“Jangan ada double standard. Jangan ada proses yang kabur. Jangan biarkan ruang demokrasi disempitkan tanpa penjelasan yang munasabah,” katanya.

Suhaimi menegaskan rakyat berhak bertanya, mengetahui fakta dan membuat penilaian sendiri berhubung penggantungan tersebut.

“Jangan senyapkan persoalan rakyat. Rakyat sedang memerhati. Rakyat sedang meneliti,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share