Jika PN Digantung, Dilema Lambang Menanti PAS Di Melaka — Dr. Mazlan Ali

KUALA LUMPUR | 25 Sep 26 – Jika penggantungan Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berterusan, PAS berdepan persoalan besar mengenai lambang yang akan digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali.

Menurut beliau, tanpa lambang PN, PAS berkemungkinan terpaksa menggunakan lambang sendiri, manakala parti komponen seperti Gerakan dan MIPP pula perlu menentukan sama ada menggunakan lambang masing-masing atau lambang PAS.

“Jadi PAS lebih prefer menggunakan Perikatan Nasional. Lambang Perikatan Nasional tu nampak lebih sesuai lah,” katanya kepada Politiko, hari ini.

Mazlan berkata, penggunaan lambang PAS di Melaka mungkin menimbulkan persoalan dari segi penerimaan pengundi, khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

“Kalau negeri lain, adakah di Melaka ni PAS nak gunakan bulan? Jadi itu timbul masalah sebab lambang tu mungkin dipandang oleh orang bukan Melayu ataupun orang Melayu di Melaka ni, dia anggap macam tidak sebaik daripada lambang Perikatan Nasional tu,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan lambang yang bakal digunakan Gerakan dan MIPP sekiranya PN tidak dapat menggunakan lambangnya.

“Jadi bagaimana pula dengan Gerakan? Gerakan nak guna apa? Adakah Gerakan menggunakan lambang Gerakan sendiri? Atau lambang MIPP juga menggunakan lambangnya sendiri? Ini akan menimbulkan kekeliruan kepada pengundi-pengundi. Pengundi tidak familiar lah lambang Gerakan dan MIPP ni,” katanya.

Menurut Mazlan, penggunaan lambang parti masing-masing juga boleh memberi kesan kepada strategi PN kerana identiti gabungan itu sebelum ini lebih dikenali melalui satu lambang yang sama.

“Strategi yang kurang berkesan lah kalau guna lambang masing-masing,” katanya.

Beliau turut membangkitkan kemungkinan penggunaan lambang Barisan Nasional (BN), namun berkata pilihan itu mempunyai persoalan tersendiri kerana ia memerlukan persetujuan BN.

“Adakah PAS nak menggunakan lambang Barisan Nasional? Nak guna lambang Barisan Nasional, pertama adakah Barisan Nasional membenarkan menggunakan lambang dia? Yang kedua, kalau guna lambang Barisan Nasional, watikah bertanding itu nanti disain oleh Zahid Hamidi selaku Pengerusi Barisan Nasional,” katanya.

Mazlan berkata, satu lagi kemungkinan ialah PAS menggunakan lambangnya sendiri untuk semua calon yang mewakili gabungan tersebut.

“Saya rasa jalan yang paling dekat, paling mudah kan menggunakan lambang PAS sajalah. Gerakan dan juga MIPP akan guna lambang PAS,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pilihan itu turut mempunyai implikasi dari segi penerimaan pengundi di Melaka.

“Tetapi implikasi dia kalau guna lambang PAS ni, orang bukan Melayu tak akan sokong. Dia tengok lambang PAS ni macam lain sikit lah. Dia ada sikit prejudis lah,” katanya.

Menurut Mazlan, persoalan lambang kini menjadi antara perkara yang perlu difikirkan oleh kepimpinan PAS dan parti-parti komponen sekiranya PN tidak dapat menggunakan lambangnya pada PRN Melaka.

“Di sini kepimpinan PAS dan rakan-rakan ni kena fikirlah cara macam mana nak selesaikan dalam isu di negeri Melaka ni, pilihan raya negeri Melaka nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Mazlan berkata perkembangan tersebut turut berlaku ketika bentuk kerjasama antara parti-parti pembangkang bagi menghadapi PRN Melaka masih belum dimuktamadkan.

Beliau berkata antara persoalan yang timbul ialah sama ada PAS akan bekerjasama dengan BN atau BN akan bertanding secara solo.

“Kalau pergi solo, akan berlaku tiga penjuru. Barisan Nasional, PH dan satu lagi PAS dan rakan-rakan dia. Jadi, macam mana tu nanti nak urus?” katanya.

Beliau berkata situasi itu menjadikan isu lambang bukan sekadar soal identiti parti, tetapi turut berkait dengan strategi penyertaan dan kerjasama politik menjelang PRN Melaka.

“Selama ini rakyat mengenali Perikatan Nasional, jenama yang kuat itu. Jadi dari segi strategi politik penyertaan dalam pilihan raya, dia akan memberi kesan kepada PAS dan juga parti-partinya, parti-parti komponennya,” katanya.

RoS pada 24 September mengesahkan semua kegiatan PN digantung berkuat kuasa 23 September di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966. Tindakan itu dibuat susulan notis tunjuk sebab yang memberi PN tempoh 30 hari untuk memberikan penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan terhadap gabungan tersebut.

Bagaimanapun, penggantungan itu tidak bermaksud pendaftaran PN telah dibatalkan, sebaliknya proses berhubung aduan dan penjelasan PN masih berjalan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share