
JOHOR BAHRU | 5 Julai 26 – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dijangka menggariskan keperluan melakukan “reset” terhadap hala tuju negara menerusi pelaksanaan dasar yang lebih inklusif dalam Himpunan RESET Malaysia Negeri Johor, malam ini.
Program yang akan berlangsung di Danga Bay Convention Centre bermula jam 8 malam itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta dari seluruh negeri.
Menurut Ketua Sekretariat RESET Negeri Johor, Datuk Zulkifli Bujang, himpunan tersebut bakal menjadi platform untuk Hamzah, selaku Pengasas Gerakan RESET Malaysia, menjelaskan mengapa negara memerlukan pendekatan baharu dalam pentadbiran dan dasar awam yang lebih berpaksikan kepentingan rakyat.
Beliau berkata, mesej utama yang akan dibawa ialah keperluan melakukan proses “reset” terhadap negara dengan mengetengahkan polisi yang lebih inklusif demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
Selain Hamzah, program itu turut dijangka dihadiri barisan kepimpinan Parti Wawasan Negara serta wakil parti-parti sahabat.
Himpunan berkenaan dilihat sebagai antara program terbesar Gerakan RESET Malaysia di Johor setakat ini, ketika pelbagai pihak mula memberi tumpuan kepada perkembangan landskap politik menjelang pilihan raya negeri.
Majlis dijadual bermula pada jam 8 malam di Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.