
KUALA LUMPUR | 28 September – Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mendesak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan secara terbuka sama ada masih mengikuti dan meyakini ajaran New Age Movement (NAM), atau meletakkan jawatan.
Desakan itu dibuat susulan kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mengesahkan isu berkaitan NAM telah disiasat dan satu sesi tabayyun diadakan bersama Timbalan Menteri berkenaan, melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah JAKIM dan pihak berkaitan.
Ketua Penerangan DUPP, YB Ustaz Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, JAKIM turut mengakui beberapa teguran, nasihat dan panduan telah diberikan berkaitan kandungan program serta pendekatan yang mempunyai implikasi terhadap agama dan akidah.
Menurutnya, isu akidah tidak boleh diselesaikan secara tertutup, terutama apabila ia membabitkan pemegang amanah yang menjaga hal ehwal agama di peringkat kerajaan.
“Beliau wajib menjelaskan sama ada beliau masih mengikuti dan meyakini ajaran ini atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan media.
DUPP turut mendesak Timbalan Menteri berkenaan meletakkan jawatan kerana jawatan tersebut, menurut mereka, menuntut integriti akidah yang tidak berbelah bahagi.
Selain itu, DUPP menggesa pihak penguat kuasa agama menjalankan siasatan terperinci dan telus. Jika terbukti berlaku penyelewengan akidah, DUPP mahu proses kaunseling pemulihan dan taubat rasmi dilaksanakan.
DUPP turut menggesa Perdana Menteri serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) campur tangan segera bagi menangani isu tersebut.
Desakan itu dibuat sehari selepas JAKIM menegaskan pendiriannya menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bertentangan dengan syarak dan prinsip akidah Islam. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.