Banjir Kilat: Cukup-cukuplah Alasan, Rakyat Mahu Tindakan – Wawasan Selangor

SHAH ALAM | 1 Okt 26 – Banjir kilat kembali melanda beberapa kawasan di Shah Alam dan Klang termasuk sekitar i-City, Seksyen 7, menjejaskan kediaman, kenderaan, perniagaan serta kehidupan rakyat.

Wawasan Negara Negeri Selangor berkata rakyat sudah terlalu kerap mendengar alasan sama setiap kali banjir berlaku, termasuk hujan luar biasa, sistem saliran tidak mencukupi dan keperluan menjalankan kajian.

“Persoalannya: sampai bila?” kata Ketua Penerangan Perhubungan Negeri Selangor Wawasan Negara, Ahmad Nasir bin Mid dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, rakyat tidak memerlukan lebih banyak alasan sebaliknya tindakan yang jelas, segera dan boleh dipertanggungjawabkan.

Wawasan Negara Negeri Selangor mengemukakan lima tindakan segera, termasuk audit kawasan berisiko serta menaik taraf sistem perparitan, saliran dan kolam takungan berdasarkan keadaan semasa.

Ia turut menggesa jadual penyelenggaraan longkang, parit, kolam takungan dan infrastruktur berkaitan didedahkan kepada rakyat supaya tindakan yang dilaksanakan serta pihak bertanggungjawab dapat diketahui.

Selain itu, pendekatan moden seperti rain garden, permeable pavement, kolam takungan dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi dicadangkan bagi mengurangkan risiko banjir mengikut kesesuaian kawasan.

Wawasan Negara turut mahu sistem amaran banjir, pusat pemindahan dan bantuan kecemasan diperkasakan supaya benar-benar bersedia sebelum keadaan menjadi kritikal.

Paling utama, pihak berkuasa diminta membentangkan pelan tindakan bertulis dalam tempoh tujuh hari, lengkap dengan tindakan yang akan diambil, agensi bertanggungjawab, garis masa pelaksanaan dan mekanisme pemantauan.

“Rakyat tidak mahu janji yang berulang. Rakyat mahu penyelesaian yang boleh dilihat, diukur dan dipantau,” katanya.

Menurut Ahmad Nasir, isu banjir bukan sekadar soal politik tetapi melibatkan keselamatan nyawa, rumah, perniagaan dan masa depan rakyat Selangor.

Wawasan Negara Negeri Selangor berkata pihaknya akan terus memantau isu tersebut dan memastikan suara rakyat tidak diketepikan.

“Cukup-cukuplah alasan. Rakyat mahu tindakan. Rakyat mahu hasil. Rakyat mahu pertanggungjawaban,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share