
SEREMBAN | 2 Oktober 26 Undang Yang Empat menegaskan isu penurunan takhta Negeri Sembilan sudah selesai, namun mendakwa perkembangan selepas 19 April 2026 kini menjurus kepada apa yang mereka sifatkan sebagai “krisis keingkaran”.
Dalam kenyataan, Undang Yang Empat menyatakan penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah sempurna dari segi undang-undang pada 19 April 2026.
Menurut dokumen itu, proses berkenaan kemudiannya disempurnakan dari segi pentadbiran pada 3 Ogos 2026, selepas Menteri Besar Negeri Sembilan menurunkan tandatangan pada surat cara proklamasi.
Justeru, Undang Yang Empat menegaskan persoalan takhta tidak lagi menjadi isu utama.
Sebaliknya, mereka mendakwa berlaku tindakan selepas 19 April yang menunjukkan fungsi Yang di-Pertuan Besar masih dilaksanakan walaupun menurut pendirian mereka, Tuanku Muhriz telah terhenti daripada jawatan tersebut.
Antara perkara yang dibangkitkan ialah dakwaan bahawa Tuanku Muhriz terus bertindak seolah-olah masih memegang jawatan Yang di-Pertuan Besar, termasuk memanggil mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai 2026.
Dokumen itu mendakwa tindakan tersebut dilakukan tanpa kehadiran Undang Yang Empat yang dianggap sah oleh pihak yang mengeluarkan kenyataan berkenaan.
Undang Yang Empat menyifatkan tindakan sedemikian sebagai sebahagian daripada persoalan yang kini bukan lagi berkaitan siapa memegang takhta, tetapi pematuhan terhadap keputusan penurunan takhta yang dibuat pada 19 April lalu.
“Tiada lagi krisis takhta di Negeri Sembilan,” demikian pendirian yang dinyatakan dalam bahagian akhir dokumen tersebut, yang seterusnya mendakwa isu sebenar kini ialah tindakan selepas keputusan berkenaan.
Bagaimanapun, pendirian ini merupakan hujah Undang Yang Empat dalam dokumen tersebut dan wujud pertikaian terbuka daripada pihak lain mengenai kesahan dokumen 19 April serta kedudukan Tuanku Muhriz. DKU, dalam keputusan yang dilaporkan pada 31 Julai, mengambil pendirian bertentangan dengan dokumen berkenaan dan menyatakan pengumuman 19 April tidak mempunyai kesan perundangan.
Justeru, isu yang kini berdepan bukan sekadar persoalan penurunan takhta, tetapi pertentangan tafsiran terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta siapa yang mempunyai kuasa untuk menentukan kedudukan institusi beraja dan adat negeri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.