
KUALA LUMPUR | 13 Okt 26 – Pertikaian terbuka antara Penasihat DAP, Lim Guan Eng dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berhubung isu gaji minimum dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja asing mencetuskan persoalan mengenai hubungan dalaman parti itu.
Guan Eng dilaporkan membidas Steven Sim berhubung isu berkenaan, termasuk dakwaan bahawa pasukan Steven menyerangnya susulan perbezaan pandangan mengenai dasar pekerja asing.
Perkembangan itu menarik perhatian kerana pertikaian bukan sekadar melibatkan perbezaan pendekatan terhadap dasar ekonomi, tetapi turut membabitkan hubungan antara dua pemimpin DAP ketika parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.
Dalam laporan, Guan Eng juga mendakwa Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying yang juga adik beliau, turut menjadi sasaran serangan.
‘Steven Sim berhak untuk tidak bersetuju dengan pendirian saya mengenai kenaikan gaji minimum dan caruman dua peratus KWSP bagi pekerja asing.
“Bagaimanapun, adalah tidak bertanggungjawab untuk membiarkan Pengerusi SME Corp Malaysia menyerang saya dan Hui Ying dengan cara yang tidak profesional serta tidak jujur,” tegasnya.
Isu yang mencetuskan perbezaan pandangan itu berkait dengan pendirian Guan Eng mengenai pelaksanaan gaji minimum terhadap pekerja asing serta kewajipan caruman KWSP oleh majikan.
Guan Eng sebelum ini berpandangan pekerja asing tidak seharusnya menikmati manfaat kenaikan gaji minimum, selain menggesa supaya caruman dua peratus bahagian majikan bagi pekerja asing dimansuhkan.
Beliau membangkitkan kebimbangan bahawa dasar berkenaan boleh meningkatkan kos operasi dan menambah tekanan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta majikan tempatan.
Steven Sim pula sebelum ini mengumumkan pengecualian sementara kepada PMKS daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu bagi memberi ruang kepada perniagaan berkenaan menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
Apa yang jelas, pertikaian Guan Eng dan Steven Sim memperlihatkan bagaimana perbezaan pandangan mengenai dasar kerajaan boleh mencetuskan ketegangan politik, termasuk dalam kalangan pemimpin daripada parti yang sama. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.