
KUALA LUMPUR | 23 Sep 26 – Perbincangan mengenai politik identiti perlu dibuka secara lebih matang, namun masyarakat juga perlu memahami batas antara memperjuangkan agenda kaum atau agama dengan tindakan yang boleh menjurus kepada perkauman dan kebencian agama, kata Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata, memperjuangkan agenda tertentu berasaskan kaum atau agama bukan sesuatu yang salah, tetapi ia berbeza daripada bersikap rasis atau menjadi pembenci agama.
“Memperjuangkan sesuatu agenda kaum atau agama tertentu adalah tidak salah, tetapi menjadi seorang yang rasis dan pembenci agama adalah tidak wajar,” katanya.
Menurut Wan Saiful, Malaysia secara beransur-ansur sedang membentuk pemahaman yang lebih baik mengenai batas tersebut, namun proses itu memerlukan masa.
“Saya fikir masyarakat sivil sedang mendorong kepada penetapan yang lebih jelas mengenai apa yang betul dan apa yang salah, dan masyarakat secara umumnya sedang bergerak ke arah yang lebih baik, tetapi kita juga mesti menerima hakikat bahawa sebelum ini, kita tidak sebebas sekarang untuk membincangkan semua perkara ini,” katanya ketika menjadi panel dalam forum yang bertajuk “Identity Politics or Performence Politics – What Really Determines How Malaysians Vote” anjuran politiko.
Beliau berkata, isu berkaitan kaum dan agama sebelum ini sering dianggap sebagai perkara sensitif sehingga perbincangan mengenainya terhenti apabila menyentuh perkara yang dianggap sensitif.
“Ia dianggap sebagai perkara sensitif, dianggap sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya disentuh, yang bermakna perbahasan mengenai topik seperti ini, apabila ia mula menghampiri atau memasuki sesuatu yang dianggap sensitif, ia terus terhenti di situ,” katanya.
Bagaimanapun, beliau melihat masyarakat Malaysia sedang melalui proses kematangan dalam membincangkan isu berkenaan.
“Tetapi saya fikir kita sedang menjadi lebih matang dan berkembang ke arah yang lebih baik,” katanya.
Wan Saiful berkata, pengalaman negara demokrasi seperti Amerika Syarikat, Eropah, United Kingdom, Australia dan Jerman boleh dijadikan rujukan dalam memahami bagaimana perbincangan mengenai identiti politik berlangsung dalam masyarakat.
Menurutnya, masyarakat perlu diberikan ruang untuk membincangkan dan memperjuangkan sesuatu perkara yang mereka anggap penting, termasuk berkaitan identiti, tetapi pada masa sama perlu berhati-hati agar tidak melangkaui batas sehingga menjadi perkauman atau sesuatu yang berbahaya dari sudut agama.
“Kita mesti membenarkan orang ramai berbahas dan memperjuangkan apa sahaja perkara yang mereka mahu perjuangkan, tetapi kita mesti berwaspada terhadap bahaya apabila ia melangkaui batas sehingga boleh menjadi sesuatu yang bersifat rasis dan berbahaya dari sudut agama,” katanya.
Beliau turut berkata, politik identiti bukan perkara yang hanya berlaku di Malaysia, sebaliknya wujud di pelbagai negara.
“Orang ramai mahu mempertahankan identiti mereka, dan itu adalah satu perjuangan politik yang mesti dihormati oleh semua pihak,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.