
KUALA LUMPUR | 6 Jan 25 — Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa bai‘ah merupakan elemen penting dalam tradisi perjuangan Islam yang bertujuan membentuk disiplin, kesetiaan dan keikhlasan dalam kalangan mereka yang memikul amanah kepimpinan dan tugasan besar.
Menurut beliau, bai‘ah pada asasnya merujuk kepada satu ikatan janji setia yang menuntut kesanggupan berkorban harta, tenaga dan kepentingan diri demi perjuangan, khususnya apabila seseorang dipilih untuk memegang tanggungjawab besar yang mencabar serta berisiko.
Abdul Hadi menjelaskan bahawa bai‘ah diamalkan ketika berdepan ancaman besar, pelantikan jawatan penting seperti ketua negara, panglima atau pemimpin masyarakat, serta dalam tugasan pentadbiran dan pengurusan yang melibatkan kepentingan ummah.
Sejarah Islam, katanya, menunjukkan bai‘ah menjadi asas kepada pembentukan kepimpinan, termasuk pelantikan para khalifah dan pemimpin sepanjang zaman.
Dalam konteks PAS, Abdul Hadi menegaskan bahawa bai‘ah diwajibkan ke atas semua calon pilihan raya yang telah diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dari sudut kelayakan peribadi dan keilmuan.
Setelah calon ditentukan oleh kepimpinan pusat, bai‘ah dilakukan kepada pimpinan tertinggi atau wakil yang dilantik, dan berkuat kuasa selepas seseorang memegang jawatan sama ada sebagai wakil rakyat atau pemimpin parti.
“Maka, semua calon yang menang menjadi wakil rakyat pada peringkat Parlimen, Dewan Negara, atau Dewan Negeri tertakluk pada baiah dan sumpah yang diucapkan serta wajib mentaati arahan kepimpinan pusat yang mentadbir negara, negeri, atau parti.
“Hal ini termasuk pelantikan jawatan oleh PAS Pusat seperti Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, Pesuruhjaya negeri-negeri, dan lain-lain yang diberikan hak kuasa oleh perlembagaan parti. Kata Hadi.
Abdul Hadi menegaskan bahawa pendekatan ini bertujuan memastikan kestabilan organisasi, mengelakkan pengkhianatan terhadap perjuangan, serta melahirkan kepimpinan yang konsisten dengan prinsip Islam dan tadbir urus yang berdisiplin.
Baru-baru ini, Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan kenyataan bahawa bai’ah dalam Islam mempunyai konteks sejarah tertentu dan tidak boleh disamakan begitu sahaja dengan bai’ah jamaah atau parti politik moden. Ini mencerminkan terdapat perdebatan ilmiah dan pandangan berbeza di kalangan golongan agama sendiri mengenai pelaksanaan bai’ah hari ini. – politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.