NFA Bukan Keputusan Muktamad, Fail Kes Boleh Dibuka Semula – Haniff Khatri

KUALA LUMPUR | 9 Jan 26 — Keputusan No Further Action (NFA) yang dibuat oleh Pejabat Peguam Negara terhadap kes melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukanlah keputusan muktamad dari sudut kehakiman dan keadilan, malah boleh dibuka semula pada bila-bila masa sekiranya terdapat asas undang-undang, tegas Peguam Kanan, Haniff Khatri Abdulla.

Menurut beliau, keputusan NFA hanyalah keputusan pentadbiran yang dibuat oleh Peguam Negara ketika ini dan tidak mempunyai kesan muktamad seperti keputusan mahkamah.

“Keputusan NFA ini adalah keputusan pejabat Peguam Negara, bukan keputusan kehakiman. Ia tidak memuktamadkan keadilan dari sudut undang-undang,” katanya ketika mengulas kenyataan media Pejabat Peguam Negara yang dikeluarkan semalam.

Haniff menjelaskan, sekiranya berlaku pertukaran Peguam Negara atau pertukaran kerajaan pada masa hadapan, mana-mana Peguam Negara baharu mempunyai kuasa untuk membuka semula fail yang sebelum ini di-NFA, jika mendapati terdapat asas kukuh untuk meneruskan pendakwaan.

“Tidak ada peruntukan undang-undang atau halangan kehakiman yang menghalang Peguam Negara baharu daripada membuka semula fail yang pernah di-NFA,” katanya.

Beliau menegaskan, rakyat tidak seharusnya tersalah faham dengan menganggap keputusan NFA sebagai penutup mutlak kepada sesuatu kes.

Menurut Haniff, hanya keputusan pembebasan sepenuhnya oleh mahkamah selepas perbicaraan, atau acquittal, yang boleh menghalang sesuatu kes daripada dibuka semula, melainkan melalui proses rayuan.

“Jika pada 4 September 2023 mahkamah telah membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara penuh, barulah kes itu tidak boleh dibuka semula kecuali melalui rayuan. Tetapi itu bukan situasi yang berlaku,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa walaupun Pejabat Peguam Negara menggunakan istilah ‘keputusan muktamad’ dalam kenyataan medianya, ia tidak boleh ditafsirkan sebagai muktamad dari sudut kehakiman.

“Keputusan itu muktamad di pihak Peguam Negara ketika ini, tetapi bukan muktamad dari sudut undang-undang dan keadilan,” katanya.

Penjelasan tersebut, menurut Haniff, penting bagi memastikan orang awam memahami perbezaan antara keputusan pentadbiran pendakwaan dan keputusan mahkamah, agar tidak timbul kekeliruan atau persepsi salah bahawa sesuatu kes telah ditutup sepenuhnya dan tidak boleh disentuh lagi pada masa hadapan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

MP Kecam KPM Sekat Sekolah Bina Kemudahan Guna Dana Sendiri

Menurut Kee Chin, kedua-dua sekolah tersebut telah berjaya mengumpul dana mencukupi melalui majlis makan malam amal untuk membina sebuah dewan auditorium dan bumbung gelanggang bola keranjang masing-masing, namun permohonan mereka akhirnya ditolak oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan jabatan pendidikan daerah.
Read More
Total
0
Share