Adakah Anwar Dahului Proses Keadilan? Soal PAS

KUALA LUMPUR, 19 DIS 25  – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mengkritik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pemberi maklumat (whistleblower), dengan mendakwa ia berunsur “mendahului keadilan” dan berpotensi mengelirukan rakyat.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, walaupun beliau menyokong cadangan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, kenyataan Anwar yang menggambarkan pemberi maklumat sebagai “penyamun tegar” menimbulkan persoalan serius terhadap prinsip keadilan dan proses perundangan.

Menurutnya, kenyataan Anwar itu dilihat merujuk kepada ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei, yang sebelum ini mendedahkan dakwaan skandal rasuah di Sabah, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Anwar telah membuat kesimpulan bersalah sebelum sebarang keputusan mahkamah.

“Adakah perdana menteri sedang mendahului keputusan mahkamah dengan menggambarkan seseorang itu telah mencuri atau memperoleh manfaat rasuah sedangkan belum disabitkan bersalah?” soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada standard yang sama digunakan terhadap individu lain yang baru didakwa di mahkamah, termasuk bekas Setiausaha Politik perdana mbenteri, sambil menegaskan prinsip “seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah”.

Ahmad Fadhli berkata, Albert Tei dilaporkan telah mengemukakan aduan berkaitan dakwaan rasuah di Sabah pada November lalu dan permohonan perlindungan sebagai pemberi maklumat, namun permohonan itu ditolak dengan cepat tanpa siasatan menyeluruh, menurutnya.

Beliau mendakwa sehingga kini perdana menteri tidak mengeluarkan penafian rasmi terhadap dakwaan yang tular dalam satu video berkaitan isu tersebut, dan ketiadaan penjelasan terbuka itu terus mencetuskan persepsi negatif terhadap integriti kepimpinan negara.

Selain itu, Ahmad Fadhli turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwa melindungi rakan sekutu politik di Sabah yang dikaitkan dengan penerimaan rasuah, sambil mempersoalkan perbezaan layanan antara pemberi dan penerima rasuah.

“Adakah penerima rasuah dianggap lebih suci berbanding individu yang membuat pendedahan?” soalnya.

Beliau menegaskan kenyataan perdana menteri mengenai kekeliruan antara penyamun dan pemberi maklumat memang wujud, namun menurutnya kekeliruan itu berpunca daripada tindakan dan kenyataan kerajaan sendiri.

Ahmad Fadhli mendakwa kenyataan tersebut berpotensi menjejaskan kredibiliti individu yang belum dibicarakan serta menghakis keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi institusi dan kedaulatan undang-undang. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share