
KUALA LUMPUR, 17 Mei — Pengerusi pro-tem Urimai P. Ramasamy membangkitkan persoalan berkenaan proses pengampunan diraja Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 dibuat secara sah.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ramasamy mempersoalkan sama ada ia dilakukan secara sah melalui Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, seperti yang termaktub di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, atau hanya berdasarkan persetujuan politik dan budi bicara diraja.
“Walaupun pelaksanaan janji itu kekal diperdebatkan, satu perkara tidak boleh dinafikan — Anwar menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada Mei 2018,” katanya.
Ketika itu katanya telah wujud kesepakatan dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH), Anwar akan diberi pengampunan penuh sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang, dan kemudiannya mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh dua tahun.
Proses pengampunan diraja sekali lagi menjadi perbualan hangat susulan perbandingan yang dibuat antara pengampunan penuh yang diterima Anwar dan keputusan pengurangan hukuman terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.
“Ini penting apabila kita membandingkan dengan kes Najib, yang permohonan pengampunannya melalui Lembaga Pengampunan telah menghasilkan pengurangan hukuman penjara dari 12 tahun kepada enam tahun, bukan pengampunan penuh.
“Jika benar Anwar tidak melalui proses melalui Lembaga Pengampunan, bagaimana beliau boleh mendakwa prosedur dalam kes Najib adalah sepenuhnya sah dan adil?” soal Ramasamy.
Katanya, rakyat Malaysia berhak mendapat penjelasan dan ketelusan mengenai perkara itu, bagi menjamin proses pengampunan tidak dimanipulasi mengikut kepentingan politik.
“Sehingga penjelasan itu diberikan, persoalan tentang keadilan dan konsistensi Perlembagaan akan terus berlegar. Rakyat mahu jawapan yang jujur. Kini masa untuk Mahathir bersuara,” tegas Ramasamy. @politko.my