Rakyat Berhak Kecewa Jika Kuasa Disalahguna – YDP Agong

Foto – Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR | 10 Jan 26 — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan bahawa rakyat berhak berasa kecewa sekiranya pihak berkuasa didapati menyalahgunakan kedudukan dan berasuah, sambil menekankan bahawa kedaulatan undang-undang mesti sentiasa dipelihara dan dipertahankan.

Titah ini disampaikan semasa Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), yang mempersembahkan taklimat mengenai isu-isu semasa perundangan dalam negara, termasuk usaha pengukuhan tatakelola dan pelaksanaan reformasi institusi bagi memerangi rasuah.

Menurut Baginda, pemeliharaan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang bukan sekadar prinsip formal, tetapi memberi kesan langsung ke atas tahap kepercayaan rakyat terhadap integriti institusi pemerintahan dan pentadbiran negara.

“Rakyat berhak untuk berasa kecewa apabila pihak berkuasa didapati menyalahgunakan kedudukan dan berasuah,” titah Seri Paduka Baginda, menekankan bahawa pemeliharaan aspek ini amat penting demi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan yang bersih dan berintegriti.

Dalam konteks politik semasa, titah ini boleh dibaca sebagai pesanan moral dan amaran halus kepada pihak berkuasa agar integriti institusi dipelihara, sambil mengekalkan keyakinan rakyat terhadap keberkesanan sistem perundangan negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share