
KUALA LUMPUR, 28 DIS 25 – Ketua Pemuda PAS Perlis, YB Haziq Asyraf, menegaskan tindakan tegas PAS terhadap tiga ADUN yang menandatangani Akuan Bersumpah (SD) hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Perlis adalah langkah disiplin yang wajar dan selaras dengan prinsip parti.
Dalam kenyataannya, Haziq juga mendedahkan bahawa beliau juga diundang untuk menandatangani SD oleh seorang individu bertindak sebagai “broker”.
Namun, beliau tidak menamakan ‘broker’ tersebut dan Haziq membuat keputusan untuk tidak hadir atau terlibat, kerana beliau terlebih dahulu merujuk kepada pimpinan PAS Pusat dan PAS Negeri sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Saya percaya adab dan prinsip seorang ADUN adalah merujuk terlebih dahulu kepada pimpinan parti. Selepas mendapatkan nasihat, saya tidak hadir dan tidak menandatangani SD itu kerana jemputan tersebut tidak dibuat secara rasmi,” kata beliau di laman facebook miliknya, hari ini.
Mengulas tindakan terhadap tiga ADUN PAS tersebut, beliau berkata tindakan ini menunjukkan kepatuhan kepada disiplin jamaah, berbeza dengan tiga ADUN lain yang bertindak di belakang parti, katanya. Haziq menekankan bahawa baiah bukan sekadar lafaz, tetapi merupakan ikatan ketaatan terhadap perjuangan dan kepimpinan parti, yang menjadi asas kepada tindakan beliau.
Haziq turut mengingatkan bahawa ketegasan PAS dalam isu ini adalah penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti sebagai entiti berprinsip dan berdisiplin, serta memastikan kestabilan kerajaan negeri Perlis terus terpelihara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.