
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Ahli-ahli BERSATU diberi masa membuat pilihan politik masing-masing sebelum sebarang tindakan lanjut termasuk penyusunan semula di peringkat kerajaan negeri dipertimbangkan, kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa.
Menurut beliau, keputusan PAS menghentikan hubungan dua hala dengan BERSATU hanya melibatkan hubungan di peringkat kepimpinan parti dan tidak ditujukan kepada ahli-ahli Bersatu di akar umbi.
“Hubungan bilateral di peringkat pimpinan dihentikan. Tetapi kita juga menerima hakikat bahawa ahli-ahli Bersatu sendiri kita belum tahu lagi mereka akan bersama siapa.
“Jadi kita beri peluang kepada ahli-ahli Bersatu untuk membuat pilihan,” katanya dalam satu penjelasan mengenai pendirian PAS terhadap Bersatu. Katanya dalam satu hantaran video facebook, Insan Ihsan.
Annuar berkata, PAS mengambil pendekatan tidak memihak kepada mana-mana kelompok dalam BERSATU memandangkan landskap politik parti itu masih dalam proses perubahan.
Beliau berkata, atas pertimbangan itu juga, PAS tidak mengusik kedudukan wakil-wakil BERSATU yang sedang memegang jawatan dalam kerajaan negeri.
“Sebab itu, hatta anggota Bersatu dalam kerajaan, dalam EXCO dan Menteri Besar, kita tidak usik. Kita beri tempoh itu,” katanya.
Menurut Annuar, langkah tersebut diambil bagi memberi ruang kepada ahli-ahli BERSATU menentukan hala tuju politik masing-masing sebelum sebarang keputusan lain dibuat.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa hubungan yang dihentikan hanyalah kerjasama dua hala antara pimpinan PAS dan BERSATU berikutan beberapa perbezaan pendirian yang masih belum dapat diselesaikan.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk pendirian berbeza mengenai usaha penyatuan dengan UMNO, cadangan membuka keanggotaan Perikatan Nasional kepada parti lain serta beberapa tindakan unilateral yang didakwa menjejaskan kepentingan PAS di beberapa negeri.
Bagaimanapun, Annuar menegaskan PAS masih mengutamakan perpaduan dalam PN dan berharap segala perbezaan dapat diselesaikan secara baik demi memperkukuh gabungan itu menjelang pilihan raya akan datang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.