TNB: EXCO Pemuda UMNO Desak Subsidi Diubah, Rebat Ikut Pendapatan Bukan kWh

KUALA LUMPUR | 17 Sep 26 — Kerajaan perlu menilai semula pendekatan bantuan bil elektrik dengan memberi keutamaan kepada kemampuan membayar isi rumah, bukannya hanya berdasarkan jumlah penggunaan elektrik, kata Exco Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azman Azeez.

Menurut Azman, rakyat tidak mahu isu bil elektrik hanya berakhir dengan perdebatan mengenai siapa yang patut dipersalahkan, sebaliknya mahu penjelasan mengenai punca kenaikan bil serta penyelesaian yang benar-benar membantu mereka.

“Rakyat tidak mahu sekadar mendengar siapa yang patut dipersalahkan. Rakyat mahu tahu kenapa bil semakin membebankan dan apa penyelesaian yang benar-benar boleh membantu mereka?” katanya.

Beliau berkata struktur tarif elektrik Semenanjung kini merangkumi tarif asas dan mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA), yang berubah mengikut kos bahan api, kos di bawah perjanjian pembelian tenaga (PPA) dan perjanjian bekalan bahan api (SLA), selain beberapa kos penjanaan lain.

Namun, katanya, penjelasan mengenai mekanisme tarif semata-mata tidak mencukupi kerana rakyat memerlukan penyelesaian yang lebih bersasar.

Azman mencadangkan bantuan elektrik diberikan berdasarkan pendapatan isi rumah, khususnya kepada golongan B40 dan M40 bawahan yang benar-benar memerlukan.

“Kita mesti lihat kemampuan membayar, bukan penggunaan semata-mata,” katanya.

Menurut beliau, sebuah keluarga berpendapatan rendah mungkin menggunakan lebih banyak elektrik kerana mempunyai anak kecil, warga emas atau keadaan kediaman tertentu dan tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan jumlah kWh yang digunakan.

Selain rebat berdasarkan pendapatan, Azman mencadangkan sebahagian dana subsidi jangka pendek dipertimbangkan untuk geran atau pembiayaan mudah pemasangan solar bumbung kepada isi rumah yang layak.

Katanya, pendekatan itu dapat membantu rakyat mengurangkan bil elektrik dalam tempoh lebih panjang, bukan sekadar meringankan beban untuk satu atau dua bulan.

Beliau turut mencadangkan skim tarif waktu puncak dan luar puncak seperti Time-of-Use diperluaskan serta dipermudahkan supaya pengguna yang mampu mengubah waktu penggunaan elektrik boleh menikmati kadar lebih rendah.

Dalam masa sama, Azman menggesa ketelusan lebih tinggi dalam penentuan kos elektrik.

“Kalau kos bahan api naik, jelaskan. Kalau kos penjanaan turun, jelaskan. Kalau ada ruang untuk mengurangkan kos sistem, lakukan,” katanya.

Menurutnya, rakyat tidak sepatutnya hanya menerima angka akhir pada bil tanpa memahami bagaimana jumlah tersebut terbentuk.

Azman berkata pendirian parti politik mengenai isu elektrik juga tidak seharusnya terhenti pada kritikan terhadap kenaikan tarif, sebaliknya perlu disertai cadangan yang boleh dilaksanakan.

“Kita mesti berani membawa cadangan yang boleh dilaksanakan. Bantuan elektrik mesti lebih bersasar. Subsidi mesti lebih bijak,” katanya.

“Pelaburan tenaga mesti melihat jangka panjang. Dan rakyat mesti mendapat perlindungan apabila kos tenaga meningkat.”

Beliau menegaskan isu bil elektrik akhirnya perlu dilihat dari sudut beban yang ditanggung pengguna.

“Saya bercakap kerana rakyat yang membayar bil ini berhak mendapat jawapan, keadilan dan penyelesaian,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share