
KUALA LUMPUR, 25 NOV 25 – Ahli perniagaan, Datuk Albert Tei, yang menjadi pendedah maklumat dalam skandal rasuah berkaitan lesen cari gali mineral di Sabah, mendakwa telah menyerahkan bukti lengkap kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Laporan Malaysiakini menyatakan, Tei mengesahkan perkara itu dalam pertemuan bersama Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya semalam.
“Saya bagi dia salinan semua bukti, 340 muka surat dan sebuah video,” katanya seperti kenyataan kepada Malaysiakini.
Teo sebelum ini mendakwa telah merakam 14 ahli politik Sabah termasuk dari kerajaan negeri menerima rasuah drngan dua daripada mereka kini telah didakwa iaitu Pembantu Menteri Negeri, Andi Muhammad Suryady dan Adun Sindumin, Yusof Yacob.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, dalam kenyataan di Facebook turut berkongsi gambar Tei bersama Dr Mahathir dan memetik sumber yang dipercayai bahawa Tei telah menyampaikan aduan tersebut secara khusus.
“Nampaknya perkara ini lebih rumit dan menakutkan daripada apa yang diketahui secara umum… sudah pasti dalang di sebalik semua ini bukan orang biasa,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
“Saya percaya ramai yang tidak sabar ingin tahu siapa sebenarnya yang merancangkan konspirasi tersebut, apa niat dan tujuan kumpulan tersebut di sebalik semua ini?
“Marilah kita sama-sama menunggu pendedahan selanjutnya. Ini bakal mendedahkan wajah sebenar kerajaan yang bertopengkan slogan Madani,” kata Fadhli, dalam hantaran tersebut dengan mengepilkan gambar Tei bersama Dr Mahathir. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.