Bukan Menteri Saja, Jawatan Setiausaha Agung Pun Patut Dilepas — Ramasamy Cabar Loke

PETALING JAYA | 6 Okt 26— Pengerusi Urimai, P Ramasamy mencabar Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook supaya turut meletakkan jawatan sebagai pemimpin tertinggi parti itu jika benar-benar menganggap pendirian DAP berhubung isu Najib Razak sebagai satu kegagalan hala tuju politik.

Ramasamy berkata, persoalan sebenar bukan sekadar sama ada Loke berundur daripada Kabinet, tetapi sama ada beliau bersedia memikul tanggungjawab politik sebagai Setiausaha Agung DAP.

“Jika Loke benar-benar percaya bahawa DAP telah gagal dalam hala tuju politiknya berhubung isu Najib, beliau harus tampil dan meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung bersama pemimpin lain yang turut memikul tanggungjawab terhadap keputusan parti,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri sahaja tidak menyelesaikan persoalan politik yang lebih mendalam dihadapi DAP.

Loke sebelum ini mengumumkan hasrat berundur sebagai Menteri Pengangkutan susulan pendirian DAP terhadap pengampunan bersyarat Najib, termasuk keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Bagaimanapun, Loke pada 29 September mengesahkan beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun peletakan itu hanya akan berkuat kuasa apabila Najib keluar dari penjara untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Ramasamy turut mempersoalkan syarat tersebut dengan menyatakan kedudukan Loke seolah-olah berubah daripada pengumuman awal untuk berundur susulan isu pengampunan Najib kepada peletakan jawatan yang hanya berkuat kuasa apabila tahanan rumah itu bermula.

Dalam perkembangan sama, Ramasamy turut mencabar kenyataan Loke bahawa DAP masih mendapat sokongan sekitar 80 peratus pengundi Cina.

Beliau berkata, adalah satu pencapaian besar sekiranya DAP memperoleh 40 peratus sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-16, selain mengingatkan bahawa masyarakat Cina mempunyai pilihan politik sendiri dan tidak bergantung kepada satu parti sahaja.

Ramasamy sebelum ini merupakan pemimpin DAP sebelum keluar daripada parti tersebut dan kini mengetuai Urimai. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share