Ahmad Maslan: Tiada Perjanjian Kerajaan Perpaduan Di Negeri, Jangan Label BN Pengkhianat

KUALA LUMPUR | 23 Julai 26 – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan Barisan Nasional (BN) tidak wajar dilabel sebagai pengkhianat susulan keputusan gabungan itu bertanding secara berasingan daripada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN).

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, BN tidak pernah memeterai sebarang perjanjian Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri, sebaliknya persefahaman yang dimeterai hanya melibatkan pentadbiran di peringkat Persekutuan.

“Tidak boleh melabel kami sebagai pengkhianat kerana kita tidak ada sebarang perjanjian di peringkat negeri. Kita hanya ada perjanjian di peringkat pusat,” katanya.

Menurut beliau, keputusan UMNO dan BN menyokong Kerajaan Perpaduan di Putrajaya dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi menjunjung titah nasihat Yang di-Pertuan Agong ketika negara berdepan kebuntuan pembentukan kerajaan.

Katanya, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO selepas mengambil kira keadaan negara yang ketika itu tidak mempunyai kerajaan selama lima hari.

Ahmad berkata, situasi politik di peringkat negeri berbeza dengan Persekutuan dan pendekatan yang diambil ketika ini mencerminkan dinamika politik semasa.

Beliau berkata, model kerjasama yang berbeza antara negeri dan Persekutuan bukan sesuatu yang luar biasa, malah turut diamalkan di beberapa negara lain.

“Di negeri kita berlainan, di pusat kita berlainan. Oleh itu ia adalah satu kematangan politik dan tidak ada apa-apa yang menyukarkan selagi kita membuat keputusan di pusat kita kekal bersama Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau turut menegaskan BN tidak pernah mengkhianati sebarang perjanjian kerana tiada persefahaman Kerajaan Perpaduan diwujudkan di peringkat negeri.

“Di negeri kita tidak pernah melakukan sebarang perjanjian dengan Kerajaan Perpaduan. Tidak ada sebarang perjanjian Kerajaan Perpaduan untuk Johor, Negeri Sembilan dan negeri-negeri lain.

“Kita tidak mengkhianati sebarang perjanjian di peringkat Persekutuan yang kita tandatangani dan kita tidak ada membuat sebarang perjanjian di peringkat negeri,” katanya.

Bagi menguatkan hujahnya, Ahmad turut memberikan contoh situasi di Sabah apabila Warisan kekal bersama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, namun tidak bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam PRN Sabah.

Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan pendekatan politik yang berbeza antara negeri dan Persekutuan tidak seharusnya dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share