
KUALA LUMPUR | 8 Sep 26 – Langkah Kementerian Kewangan (MOF) melantik firma perunding penerbangan bagi menilai keperluan pembiayaan AirAsia menimbulkan persoalan sama ada kerajaan sedang meneliti kemungkinan sokongan lebih besar kepada syarikat penerbangan tambang rendah itu.
Menurut laporan The Star yang memetik Reuters, MOF melantik Alton Aviation Consultancy untuk menilai keperluan pembiayaan AirAsia ketika syarikat berkenaan berdepan tekanan kewangan dan sedang berusaha mendapatkan dana baharu.
Tiga sumber yang mengetahui perkara itu dipetik sebagai berkata kerajaan sedang menilai bentuk sokongan yang mungkin diperlukan AirAsia, termasuk mengambil kira kepentingan awam dan kesan ekonomi sekiranya syarikat berkenaan berdepan masalah kewangan lebih serius.
Bagaimanapun, laporan sama menegaskan bahawa kerajaan buat masa ini tidak mempunyai rancangan untuk menyelamatkan AirAsia atau memberikan jaminan terhadap usaha pengumpulan dana syarikat itu.
Justeru, langkah mendapatkan penasihat itu belum boleh dianggap sebagai persediaan kepada bailout. Namun, persoalan tetap timbul, apa sebenarnya yang sedang dinilai kerajaan?
AirAsia ketika ini sedang berusaha mengumpulkan sehingga AS$1 bilion melalui pasaran hutang antarabangsa, selain kemudahan kredit tempatan sebanyak RM700 juta.
Menurut AirAsia, pembiayaan itu terutama bertujuan untuk penstrukturan semula hutang dan pengukuhan kedudukan kewangannya.
Tekanan kewangan syarikat bagaimanapun bukan kecil.
Setakat 30 Jun lalu, AirAsia mempunyai RM18.4 bilion liabiliti semasa, berbanding hanya sekitar RM954 juta tunai dan baki bank. Syarikat itu turut mencatat kerugian bersih sekitar RM831 juta bagi suku kedua 2026.
Lebih membimbangkan, laporan The Star kemudian memetik penganalisis yang berpandangan keperluan pembiayaan AirAsia mungkin mencecah hampir AS$3 bilion, jauh lebih besar daripada AS$1 bilion yang sedang diusahakan.
Dalam keadaan itu, persoalan mengenai peranan kerajaan menjadi semakin relevan. Jika masalah AirAsia boleh diselesaikan melalui penstrukturan hutang dan pembiayaan baharu, campur tangan kerajaan mungkin tidak diperlukan.
Tetapi jika keperluan pembiayaan jauh lebih besar dan mempunyai implikasi kepada pekerjaan, industri penerbangan serta hubungan udara rakyat, Putrajaya mungkin berdepan persoalan sama ada perlu memainkan peranan lebih besar.
Buat masa ini, belum ada keputusan mengenai bailout. Namun tindakan MOF mendapatkan penasihat untuk menilai keperluan pembiayaan AirAsia menunjukkan kerajaan sekurang-kurangnya mahu memahami sejauh mana masalah syarikat itu dan apakah pilihan yang tersedia. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.