
KUALA LUMPUR, 7 Ogos 25 – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima penghormatan Ijazah Doktor Kehormat daripada Universiti Kyushu di atas sumbangan beliau dalam Pemerkasaan ilmu dan budaya serta kecemerlangan beliau dalam bidang akademik dan pendidikan di Universiti Kyushu, semalam.
Menurut kenyataan di laman facebook beliau, anugerah tersebut disampaikan sempena lawatan tiga hari beliau ke Fukuoka bagi menyampaikan beberapa siri syarahan tahunan atas jemputan beberapa pihak termasuk Japan Future Leaders School.
Terdahulu, Tun Dr. Mahathir memulakan lawatan beliau dengan mengunjungi semula Pusat Penyelidikan Hidrogen Antarabangsa di Universiti Kyushu — 13 tahun selepas kunjungan pertama beliau pada tahun 2011.
Dalam lawatan ini, Tun menerima taklimat daripada Profesor Dr Sasaki Kazunari, Naib Presiden Kanan, Fakulti Kejuruteraan, Pusat Kuasa Hidrogen, Universiti Kyushu, berkenaan kemajuan terkini teknologi hidrogen ‘fuel cell’ sebagai bahan bakar menggantikan petrol — satu bidang strategik dalam usaha global ke arah masa depan tenaga bersih.
Lebih membanggakan, seramai 12 pelajar Malaysia kini melanjutkan pengajian di pusat penyelidikan ini mencerminkan potensi besar anak muda negara dalam bidang teknologi masa hadapan.
Tun Dr. Mahathir turut menyampaikan ucapan di hadapan pelajar dari Japan Future Leaders School (JFLS) dan Universiti Kyushu dalam sesi bertajuk: “Prescription from a 100-Year-Old Leader to Build a Future Without Conflict.”
Ini merupakan kali ke 22 Tun Dr Mahathir menyertai Future Leader School yang merupakan sekolah musim panas bagi pelajar-pelajar seluruh negara Jepun dan antarabangsa dan telah melahirkan lebih 3,000 pelajar daripada program ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.