Akar Umbi BERSATU Persoal Hala Tuju Parti Menjelang PRN Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR | 17 Julai 26 – Seorang ahli akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Azrol Mansor, mempersoalkan hala tuju parti selepas kepimpinan memutuskan untuk bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Azrol, yang mendakwa merupakan antara penggerak awal penubuhan BERSATU pada 2016, berkata keputusan tersebut menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan ahli akar umbi mengenai masa depan parti serta kedudukan Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, keputusan itu dibuat ketika BERSATU berdepan pelbagai cabaran dalaman yang menyaksikan beberapa pemimpin dan ahli meletakkan jawatan atau dikenakan tindakan disiplin di pelbagai peringkat.

Beliau mendakwa perkembangan itu mencerminkan keresahan dalam kalangan sebahagian ahli terhadap hala tuju parti.

“Saya melihat kepimpinan perlu menjawab mengapa semakin ramai ahli meninggalkan parti atau berdepan tindakan disiplin. Adakah masalah sebenar berpunca daripada ahli atau wujud kelemahan dalam menangani suara akar umbi?” katanya dalam satu kenyataan.

Azrol turut mendakwa ahli akar umbi kini terpaksa mempertahankan keputusan parti kepada rakyat walaupun mereka tidak dirujuk sebelum keputusan penting dibuat.

Beliau berpendapat tindakan BERSATU menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan berisiko menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi serta boleh mencetuskan persepsi bahawa perpaduan dalam PN semakin longgar.

Katanya, ahli akar umbi bukan musuh parti, sebaliknya merupakan tunjang perjuangan yang selama ini mempertahankan BERSATU ketika berdepan pelbagai cabaran politik.

Beliau turut mengingatkan bahawa sesebuah parti yang kehilangan keyakinan ahlinya berisiko kehilangan sokongan rakyat, sekali gus memberi kesan kepada masa depan BERSATU dan Perikatan Nasional. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share