
KUALA LUMPUR, 22 DIS 25 — Tekanan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya berundur sebagai Presiden Bersatu semakin memuncak apabila dua ahli parti itu secara terbuka mendakwa beliau telah ditolak oleh akar umbi dan juga Perikatan Nasional (PN).
Dalam rakaman video yang dikenali sebagai ‘Cakap Lepas’, ahli Bersatu, Faizan Md Nor, mendakwa penolakan terhadap Muhyiddin bukan sekadar datang daripada ketua-ketua bahagian, tetapi lebih serius melibatkan sokongan akar umbi. Menurutnya, Muhyiddin juga tidak lagi menjadi pilihan PN berdasarkan garis panduan calon Perdana Menteri yang pernah dikeluarkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Apabila PN sudah memberi isyarat penolakan, Bersatu perlu akur. Walaupun tidak dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat tertinggi PN, hint itu jelas,” katanya, sambil menegaskan bahawa Datuk Seri Hamzah Zainudin kini merupakan ketua pembangkang yang menerima mandat penuh PN.
Faizan turut berkata, selagi Muhyiddin kekal sebagai presiden, Bersatu akan terus berpecah dan berdepan krisis dalaman yang berpanjangan. Justeru, beliau menggesa Muhyiddin mengundurkan diri secara terhormat tanpa berlengah.
Nada hampir sama disuarakan oleh seorang lagi ahli Bersatu, Daing Mohamad Daing Makati, yang mendakwa kepercayaan penyokong terhadap kepimpinan parti semakin terhakis akibat isu integriti dan tuduhan mahkamah melibatkan pimpinan tertinggi.
“Dulu kita laungkan integriti dan bebas rasuah, tetapi hari ini rakyat mula mempersoalkan pendirian itu. Kepimpinan perlu menjadi teladan, namun ia tidak berlaku,” katanya.
Menurut beliau, penyokong Bersatu kini berada dalam dilema untuk meneruskan perjuangan, malah beranggapan parti memerlukan kepimpinan baharu yang lebih muda dan bertenaga bagi mengembalikan keyakinan rakyat serta menghadapi pilihan raya akan datang.
“Zaman beliau sudah berlalu. Isyarat sudah jelas. Demi menyelamatkan parti, elok presiden sekarang berundur dan beri laluan,” katanya. @politiko.my
Video tersebut boleh ditonton di sini dan di sini
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.