
KUALA LUMPUR, 7 Ogos 25 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) diingatkan tidak terlibat dengan pertikaian membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Peguam kanan Haniff Khatri Abdulla berkata, pertikaian dua pemimpin itu adalah isu peribadi Anwar dan tidak seharusnya agensi negara turut serta.
“SKMM, SPRM, polis wajar faham sebagai agensi penguatkuasa undang-undang tidak boleh dicampuri arahan songsang jahat oleh sesiapa sahaja apatah lagi perdana menteri.
“Ini ujian untuk SKMM kalau esok lusa bila-bila mereka keluarkan kenyataan ada atau tidak ada kenyataan yang disuruh cari oleh Anwar, itu pembuktian campur tangan salah oleh perdana menteri dalam urusan peribadi kepada agensi pelaksana undang-undang dan membiarkan diri mereka diperguna pucuk pimpinan negara untuk kegunaan salah,” katanya, dalam kenyataan video.
Pertikaian tercetus selepas Anwar dalam persidangan Dewan Rakyat mendakwa Muhyiddin menyokong pemberian subsidi petrol kepada warga asing namun ahli Parlimen Pagoh itu sebaliknya menafikan tuduhan tersebut.
Anwar kemudian mengarahkan SKMM menjalankan menyiasat sama ada Muhyiddin ada membuat kenyataan mempertahankan hak warga asing untuk mendapat bahan api bersubsidi.
“Urusan Anwar dan Muhyiddin adalah pertelingkahan mereka sama ada di dalam atau luar parlimen…perdana menteri tak boleh keluar kenyataan tak benar. Mencaca merba rakyat kemudian tuduh rakyat.
“Belajar sikit bagaimana nak jadi pemimpin,” sindir Haniff.
Katanya, wakil rakyat juga berhak mengemukakan usul kepada Speaker Dewan Rakyat bagi merujuk Anwar ke jawatankuasa hak dan kebebasan Parlimen sekiranya kenyataan itu tidak berasas.
“Arah SKMM siasat. Siapakah Anwar untuk arahkan, campur urusan tadbir SKMM siasat isu yang bukan isu SKMM, isu peribadi dia. Dia cakap benar atau tipu. Tak perlu arah agensi negara bantu dia siasat. Itu salah guna kuasa.
“Kami bukan bodoh. Rakyat Malaysia celik undang-undang. Jangan mempermainkan kami berulang kali. Rakyat sudah jemu, jelik daripada kenyataan bodoh pemimpin negara yang patut ada tatasusila,” tegasnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.