
KUALA LUMPUR | 18 Julai 26 – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berpandangan Pakatan Harapan (PH) wajar mengkaji semula hubungan serta kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) susulan perkembangan politik semasa yang menurutnya menjejaskan usaha mewujudkan kestabilan negara.
Menurut beliau, PH tidak melihat kejujuran yang sama daripada pihak BN, sedangkan negara sedang berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan krisis global yang memerlukan tumpuan semua pihak.
“Saya fikir wajar untuk kita kaji semula hubungan kita Pakatan Harapan, kerjasama politik dengan Barisan Nasional kerana kita tidak lihat kejujuran yang sama diberikan di pihak sana,” katanya kepada media, pada Sabtu.
Muhammad Kamil berkata, ketika dunia sedang berhadapan dengan krisis global, usaha semua pihak sepatutnya tertumpu kepada memperkukuh kedudukan ekonomi negara, bukannya terlibat dalam percaturan politik.
“Sementara negara kita sedang berhadapan, bukan hanya negara kita, dunia sedang berhadapan dengan krisis di peringkat global. Tumpuan dan usaha yang sepatutnya dialihkan kepada usaha untuk memperkukuh kedudukan ekonomi kita. Tetapi krisis ini digunakan kesempatan oleh mereka untuk melakukan pencaturan politik untuk memenuhi kepentingan kelompok dan juga individu tertentu,” katanya.
Beliau berkata, pendirian PH sejak awal adalah untuk memastikan kestabilan politik terus dipelihara, namun perkembangan semasa tidak boleh dinafikan memberi kesan kepada matlamat tersebut.
“Kita telah nyatakan pendirian kita dengan jelas bahawa perkara pertama yang kita kena pastikan ialah kestabilan politik. Jadi bila ini berlaku kita tak boleh nafikan ataupun menidakkan bahawa dia akan menyumbang kepada ketidakstabilan politik,” katanya.
Muhammad Kamil turut memberi bayangan bahawa PH bersedia mengambil pendekatan yang sama di peringkat Persekutuan sekiranya BN memilih untuk mengubah corak hubungan politik antara kedua-dua gabungan.
“Kita telah nyatakan juga pendirian kita daripada awal, kalau dia nak berkawan, kita kawan. Kalau dia nak lawan, kita lawan, dia tak ada masalah.
“Saya rasa tak ada masalah kalau dia boleh lakukan hal yang sama kepada kita di negeri, saya ingat kita pun boleh lakukan hal yang sama di persekutuan. Kalau dia memilih untuk bermusuh dengan kita, kita pun boleh memilih untuk bermusuh dengan dia dan memberikan tumpuan kita untuk fokus kepada usaha untuk membangun ekonomi kepada rakyat,” katanya.
Dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, BN dan PN telah bekerjsama dimana BN tidak meletakkan calon di sebelas buah kerusi, manakala PN tidak meletakkan calon di 26 buah kerusi yang ditandingi. Persefahaman ini dijangka akan mencetuskan agenda perpaduan ummah ayng sering disebut-sebut akan menjadi realiti dalam lanskap politik negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.