
KUALA LUMPUR | 7 Ogos 26 – PAS memilih untuk tidak terburu-buru dalam menentukan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, meskipun Barisan Nasional (BN) dilaporkan telah menyatakan hasrat untuk bertanding di hampir semua kerusi majoriti Melayu.
Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu akan diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti, manakala sebarang keputusan membabitkan Perikatan Nasional (PN) perlu melalui proses rundingan terlebih dahulu.
“Pucuk pimpinan BN dah istihar nak bertanding hampir semua kerusi majoriti Melayu untuk mereka. Tinggal satu dua kerusi saja untuk parti-parti lain.
“Bagi PAS, kita serah pucuk pimpinan dan tidak perlu terburu-buru,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, semalam.
Menurut Annuar, PN juga dijangka mengadakan perbincangan secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Bagi PN, saya percaya kita akan berbincang terlebih dahulu. Tidak perlu mendahului perundingan,” katanya.
Kenyataan itu hadir ketika spekulasi mengenai bentuk kerjasama antara parti-parti pembangkang semakin hangat diperkatakan menjelang PRN Melaka, khususnya membabitkan pembahagian kerusi yang menjadi medan tumpuan.
Dalam masa yang sama, Annuar berkata, jentera dan Jabatan Pilihan Raya PAS akan menjalankan kajian lapangan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang sentimen pengundi di negeri itu.
“Bagi jentera dan Jabatan Pilihan Raya PAS, kita akan buat kajian sentimen rakyat. Kita amat menghargai aspirasi rakyat Melaka,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar semua pihak mengambil kira pengalaman lalu sebelum membuat sebarang keputusan politik yang besar.
“Amatlah perlu kita cermat membuat perhitungan dan tidak mudah lupa dengan kejayaan yang sudah dicapai. Ia sebahagian daripada ujian buat kita semua,” katanya lagi.
Kenyataan Annuar itu dilihat memberi isyarat bahawa rundingan antara parti-parti pembangkang masih berada pada peringkat awal, walaupun persiapan menghadapi PRN Melaka semakin rancak digerakkan.
Pilihan raya Negeri Melaka dijangka diadakan sekitar Oktober tahun ini. Untuk rekod, BN menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN di Melaka. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.