
Akta Pembaharuan Semula Bandar (Urban Renewal Act – URA) ialah undang-undang yang dicadangkan oleh kerajaan dengan tujuan untuk mempercepatkan pembangunan semula kawasan bandar yang usang atau terbiar.
Dari segi matlamat, akta ini bertujuan menyediakan rangka kerja perundangan untuk memudahkan proses pembaharuan bandar dengan menetapkan ambang persetujuan pemilik hartanah strata yang lebih rendah bagi penjualan secara en-bloc.
Kerajaan dan penyokong URA menolak dakwaan bahawa URA akan merampas rumah rakyat secara paksa dan menekankan bahawa proses pengambilan tanah akan dilakukan secara adil dengan pampasan yang sewajarnya
Namun, persepsi kebimbangan majoriti rakyat Malaysia terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) merupakan suatu realiti yang harus diberi perhatian sewajarnya.
Ramai bimbang bahawa Akta URA akan memberikan kuasa yang terlalu besar kepada kerajaan dan pemaju untuk mengambil alih hartanah tanpa persetujuan penuh pemilik.
Kebanyakkan mereka khuatir bahawa ambang persetujuan yang lebih rendah boleh menyebabkan pemilik minoriti terpaksa menjual hartanah mereka kerana tertakluk kepada Akta URA kelak.
Terdapat juga kebimbangan bahawa pelaksanaan Akta URA boleh menyebabkan penduduk, terutamanya golongan berpendapatan rendah, dipindahkan dari kediaman mereka dengan pampasan yang tidak setimpal.
Contohnya, terdapat laporan mengenai penduduk yang menerima pampasan serendah RM450 bagi setiap kaki persegi, yang dianggap tidak memadai untuk mendapatkan kediaman baru di kawasan bandar.
Beberapa pihak, termasuk PAS, NGO dan mantan PM, Tun Mahathir, telah menyuarakan kebimbangan bahawa URA boleh mengancam pemilikan tanah dan demografi Melayu di bandar.
Mereka berpendapat bahawa akta ini boleh menyebabkan pemindahan penduduk Bumiputera dari kawasan bandar, dan ini akan mengubah komposisi kaum dan sekaligus boleh mengurangkan pemilikan hartanah oleh Bumiputera.
Lawatan ahli-ahli parlimen PN ke Kampung Sungai Baru, semalam, memberi beberapa indikasi penting tentang apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurus isu ini dengan cara yang efektif.
Antaranya, Wakil Rakyat PN menerusi suara mereka di Parlimen, boleh mendesak dan menuntut kerajaan mendedahkan kepada umum draf Akta URA sebelum ia dibahaskan di Parlimen. Ini penting agar naratif kebimbangan rakyat mengenai akta ini dapat diterjemahkan dengan lebih jelas.
PN juga boleh mendesak kerajaan mengadakan sesi rundingan awam secara terbuka bersama
bersama penduduk, pakar perumahan, wakil strata, dan badan masyarakat sivil.
Selain daripada itu PN juga boleh mencadangkan kepada kerajaan untuk melakukan penambahbaikan terhadap ‘Ambang Persetujuan’ dengan menetapkan pampasan minimum wajib, penetapan standard perlindungan pemilik minoriti dan menetapkan semua ambang persetujuan mesti melalui audit bebas atau pengesahan oleh tribunal khas bagi melindungi hak kumpulan minoriti.
Menerusi jawatankuasa khas juga, PN boleh mendesak kerajaan menyediakan kertas pengawalan selia yang ketat terhadap pemaju yang terlibat dalam pembangunan di sesuatu kawasan.
Kaedah ini juga bertujuan untuk memastikan setiap projek yang dijalankan oleh mana-mana pemaju untuk melalui proses penilaian sosial & alam sekitar (SIA & EIA). Ini penting untuk mengelakkan sesuatu projek menjadi alat ‘bail out’ pemaju hartanah. @politiko.my