
KUALA LUMPUR, 18 DIS 25 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan beliau melantik Timbalan Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh, sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, sambil menepis kritikan yang timbul berhubung latar belakang etnik pelantikan tersebut.
Memetik laporan The Star, Anwar berkata menolak seseorang hanya kerana warna kulit dan bangsanya merupakan sikap yang tidak dapat diterima pada zaman ini, membidas pihak yang mempersoalkan keputusan kerajaan.
Beliau menegaskan bahawa dasar pelantikan tersebut bertujuan memperkukuh keharmonian serta mencerminkan kepelbagaian dalam pentadbiran negara.
Yeoh kini menjadi pemimpin bukan Melayu pertama yang menganggotai portfolio Wilayah Persekutuan sejak jawatan itu diwujudkan pada 1976, bersama timbalan beliau Lo So Fui yang juga berbangsa Cina.
Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin, mempersoalkan mengapa dua ahli politik Cina diberikan tanggungjawab utama terhadap pentadbiran Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, pula menyuarakan kebimbangan mengenai sensitiviti etnik dalam keputusan tersebut.
Beberapa pihak bimbang pelantikan itu boleh membawa kepada desakan pilihan raya majlis tempatan di ibu negara, sebagai satu idea yang lama ditolak oleh Umno dan PAS atas dakwaan ia boleh mengurangkan pengaruh Melayu di kawasan bandar.
Anwar menegaskan bahawa memiliki menteri berbilang latar belakang tidak bermakna satu komuniti akan dipinggirkan, dan menyatakan kerajaan akan bertindak tegas terhadap isu perkauman yang mengancam keharmonian negara. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.