“Kami Kekal Tenang”, Kata Wan Saiful Lepas Dipecat Bersatu

KUALA LUMPUR, 14 Okt 25 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan menyatakan dirinya serta beberapa ahli Bersatu kekal tenang kerana mereka dipihak yang benar.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) itu mendakwa ada pihak sedang mengatur Bersatu, dengan menjadikan dirinya serta beberapa ahli yang dipecat dan digantung sebagai mangsa.

“Kami berdua kita tenang, kita berada dipihak benar dan ada orang guna kuasa dan kedudukan tekan perkara benar,” katanya, ketika sidang media di Parlimen.

Katanya, kumpulan itu sedang mencipta naratif seolah-olah mereka mengikut proses dalam Bersatu sedangkan sebaliknya sedang berlaku.

“Ada pihak sedang mengatur. Cipta naratif mereka ikut proses parti. Kami sebenarnya yang ikut proses. Kita nak jaga nama baik parti tapi di sebelah sana cuba atur sebaliknya.

“Kita nak pastikan Bersatu boleh diselamatkan dan dikembalikan ke matlamat sebenarnya,” kata Wan Saiful.

Lembaga Disiplin Bersatu malam tadi memecat keahlian Wan Saiful serta menggantung keahlian selama satu penggal Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.

Empat lagi ketua bahagian Bersatu yang turut berdepan tindakan pemecatan adalah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.

Dalam sidang medianya, Wan Saiful berkata, mereka akan meneliti sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

“Kita akan timbang sama ada buat rayuan atau tidak.

“Kami akan kekal setakat ini melalui proses dalaman parti. Bersatu, Perikatan Nasional bukan milik individu, tak boleh diperguna untuk ditunggang sesiapa sahaja selamatkan diri dan keluarga mereka,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, proses keadilan tidak berjalan seperti mana yang diharapkan daripada Lembaga Disiplin Bersatu.

Malah tindakan itu katanya merugikan Bersatu dan PN memandangkan PRN Sabah akan berlangsung tidak berapa lama lagi.

“Proses keadilan tidak berjalan sama sekali. Kami akan teliti langkah seterusnya. Kami masih sayangkan Bersatu dan PN.

“Merugikan PN dan Bersatu kita nak berdepan PRN Sabah, kami tidak akan mengalah sama sekali. Kami masih ahli Parlimen. Kami tidak gentar,” tegasnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share