
KUALA LUMPUR, 10 Jun 25 – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa cubaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan imuniti daripada dibicarakan di mahkamah kerana merasakan dirinya bersalah.
Bekas perdana menteri itu mendakwa, sekiranya tidak bersalah, sudah pasti Anwar mahukan mahkamah membuat keputusan.
“Anwar cuba elak dihadapkan ke mahkamah dengan dakwaan bahawa Perlembagaan memperuntukkan immunity (kekebalan) bagi perdana menteri.
“Kenapa cuba elak dari dibicara di mahkamah? kerana Anwar tahu dirinya akan didapati bersalah,” dakwa Dr Mahathir, dalam kenyataan di media sosial miliknya.
Dr Mahathir mendakwa akan ada lebih banyak kes diberikan imuniti sekiranya permohonan itu diizinkan mahkamah.
“Kalau diberi immunity berkenaan satu kes, tak akan kes lain tidak immune. Tentu immune punya. Jadi perdana menteri boleh bunuh orang pun okaylah.
“Kalau tetap menang tentulah lebih baik jika mahkamah mendapati dirinya tidak bersalah,” dakwanya lagi.
Dr Mahathir mendakwa, wujud dua set berbeza dalam pelaksanaan undang-undang.
“Di Malaysia pelaksanaan undang-undang pilih bulu. Bagi satu orang yang mahkamah tinggi sudah hukum salah, hukuman tidak dilaksana kerana konon menunggu keputusan rayuan (appeal). Apabila Mahkamah Rayuan juga mendapati ia salah, masih juga hukuman tidak dilaksana.
“Bagi orang lain sebelum pun dibicara di mahkamah, hanya semasa siasatan, mereka akan dimasuk dalam tahanan berbulan-bulan, harta dirampas, keluarga ditekan. Pendek kata sebelum pun didapati bersalah sudah dihukum, didera. Itu bagi orang lain.
“Jelaslah walaupun tertakluk kepada undang-undang yang sama tetapi pelaksanaan tidak sama,” dakwa Dr Mahathir lagi. @politiko.my