Anwar Mahu Saya Tanding Timbalan Presiden, Kata Rafizi

KUALA LUMPUR, 6 MEI 25 – Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan beliau diarahkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding mempertahankan kerusi timbalan presiden walaupun sudah menyatakan kesediaan untuk tidak mempertahankan jawatan itu.

Malah, calon yang dikatakan akan menentangnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut memberikan pandangan agar beliau bertanding jawatan itu dan kekal berada dalam Jemaah Menteri.

“Kedua-dua mereka memberi pandangan bahawa ada keperluan untuk saya kekal bertanding timbalan presiden dan menjadi sebahagian dari kabinet.

“Saya nyatakan bahawa saya akan mengambil kira semua pandangan dalam membuat keputusan akhir,” katanya, dalam satu kenyataan.

Rafizi berkata, dalam pertemuan dua kali bersama perdana menteri itu, beliau menyatakan kesediaan tidak mempertahankan jawatan timbalan presiden dan tidak menyertai kabinet untuk memberi tumpuan kepada kempen akar umbi.

Kebimbangannya kata Rafizi berkisar kepada keadaan semasa kerajaan dilihat terlalu bertahan dan tidak menyerang seperti semasa menjadi pembangkang.

“Itu kekuatan yang saya ada sebagai seorang ahli politik dan wajar disesuaikan dengan keperluan kempen di masa berbaki dua tahun sebelum PRU16,” katanya.

Kedudukan di dalam Jemaah Menteri katanya menyekat untuk bersuara lebih keras seperti kebiasaannya.

“Ia menyumbang sedikit sebanyak kepada keadaan kempen PKR yang dilihat tidak agresif,” katanya lagi. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share