UMNO-PAS Jangan Terperangkap Politik “Ayat Kerusi” — Hishamuddin Rais

KUALA LUMPUR | 14 Sep 26 – Aktivis politik, Hishamuddin Rais menyifatkan politik UMNO dan PAS masih terlalu tertumpu kepada soal pembahagian kerusi sehingga mengetepikan perbincangan lebih besar mengenai hala tuju dan perjuangan politik.

Menurut Hishamuddin, beliau berharap UMNO dan PAS dapat mengadakan kerjasama yang pernah dirancang, namun pada masa sama mengkritik kecenderungan ahli politik kedua-dua parti yang dilihat lebih banyak bercakap mengenai soal kerusi.

“Saya harap UMNO dan PAS dapat mengadakan apa yang telah (dirancang),” katanya dalam podcast Politikopi, Jumaat lalu.

Namun, beliau kemudian menyindir kecenderungan ahli politik yang menurutnya hanya mengulang perkara berkaitan kepentingan politik dan pembahagian kerusi.

“Tiap-tiap kali ahli politik ni ayat yang dibaca mereka hanya ayat kerusi. Ayat kerusi je yang baca,” katanya.

Hishamuddin menggunakan istilah “ayat kerusi” sebagai sindiran terhadap politik yang terlalu berkisar mengenai siapa memperoleh kerusi, berapa banyak kerusi dan kedudukan politik, berbanding membincangkan perkara yang lebih besar mengenai perjuangan serta masa depan rakyat.

“Tak ada ayat. Ayat kerusi je. Tak ada. Tak ada ayat lain,” katanya.

Beliau turut menggunakan perbandingan dengan ayat al-Quran bagi menggambarkan bahawa ahli politik seolah-olah hanya mengetahui “ayat kerusi”, sedangkan persoalan lebih besar tidak disentuh.

Sindiran itu dilihat mengarah kepada budaya politik yang menjadikan rundingan mengenai kerjasama antara parti terlalu berpusat kepada soal pembahagian kawasan dan kuasa.

Bagi Hishamuddin, sekiranya UMNO dan PAS mahu membina kerjasama yang lebih bermakna, perbincangan tidak seharusnya terhenti pada persoalan siapa mendapat kerusi atau bagaimana kerusi diagihkan.

Sebaliknya, beliau mahu wujud perbincangan mengenai matlamat politik dan perkara yang mahu dibawa kepada rakyat.

Kritikan tersebut hadir ketika hubungan UMNO-PAS kembali menjadi antara persoalan penting dalam percaturan politik pembangkang dan politik Melayu, khususnya selepas kedua-dua parti dilihat mempunyai kepentingan masing-masing dalam menentukan bentuk kerjasama politik menjelang pilihan raya akan datang. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share